Hampir 350,000 batang pokok berjaya di tanam sejak 2008, kata ADUN

Admin

KEBUN BUNGA – Hampir 350,000 batang pokok daripada pelbagai spesies berjaya ditanam di negeri ini sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mengambil alih tampuk pentadbiran sejak 2008 hingga Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pencapaian tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited dalam memastikan kelestarian alam semula jadi terus terpelihara.

Daniel Gooi Zi Sen menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan mewarna sempena Karnival Mini PLANMalaysia@Pulau Pinang dekat Taman Botani semalam.

“Kerajaan Negeri begitu serius mahu memastikan alam semula jadi sentiasa terpelihara di sebalik pembangunan fizikal dan ekonomi yang semakin pesat.

“Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan padu pelbagai pihak di negeri ini termasuk barisan kepimpinan, jabatan serta agensi kerajaan, pihak swasta dan paling penting adalah penglibatan komuniti itu sendiri,” katanya semasa berucap pada program Mini Karnival PLANMalaysia@Pulau Pinang dekat Taman Botani, di sini semalam.

Turut hadir, wakil kepada Datuk Bandar MBPP, Zuraini Mat rasit; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), P.R. Kaliyappan serta Timbalan Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Farid Ibrahim.

Selain aktiviti menanam pokok, karnival mini tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz, pameran, gerai jualan makanan minuman serta banyak lagi.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata bahawa penganjuran program berkenaan adalah sebahagian langkah ke arah menyokong Visi Penang2030: Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Negara.

Tumbuhan-tumbuhan yang dipamerkan.

“Justeru, diharapkan penganjuran karnival ini dapat meningkatkan lagi aktiviti landskap dan kualiti persekitaran negara amnya dan Pulau Pinang khasnya melalui usaha memupuk kesedaran, minat dan pengetahuan dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

“Hal ini kerana pengurusan landskap yang baik juga boleh dijadikan salah satu tarikan pelancongan dengan kewujudan persekitaran yang menarik,” ujarnya lagi.

Difahamkan, Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 3 Mac setiap tahun sebagai Hari Landskap Negara bersempena pelancaran kempen penanaman pokok di seluruh negara sejak 3 Mac 1997.

Teks & Gambar: SUNARTI YUSOFF