Hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNPeruntukan yang tidak dibelanjakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya hanya RM23.9 juta disebabkan projek berwajib kerajaan pusat lewat dimulakan di negeri berkenaan.

Demikian penjelasan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini semasa mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menegur Kerajaan Negeri kononnya tidak membelanjakan kira-kira RM386.2 juta.

“Sebenarnya, hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan dan bukannya RM386 juta.

“ RM 23.9 juta tidak dibelanjakan kerana projek bermula lewat dan jabatan telahpun diarahkan untuk memastikan kelewatan dapat dielakkan,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama-sama Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy baru-baru ini.

Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh, Law Choo Kiang antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir pada siding media di Komtar, di sini.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri) serta Datuk Mohd. Saleh Man (Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir).

Laporan tahunan itu antara lain menyebut, sebanyak RM557.25 juta peruntukan membabitkan sembilan jabatan sepatutnya dibelanjakan bagi menjalankan 2,489 projek pada tahun lepas.

Namun, menurut laporan itu lagi, sejumlah RM171.05 juta dibelanjakan, manakala, baki RM386.2 juta tidak dibelanjakan.

Guan Eng berkata, baki RM362.3 juta yang tidak dibelanjakan itu disebabkan RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah hub pendidikan Asian Women Leadership University atau AWLU di Kampung Genting, Balik Pulau tidak dibelanjakan apabila AWLU bersetuju memilih tapak Kerajaan Negeri di Pondok Upeh.

“Oleh itu, pengambilan tanah di Kampung Genting dibatalkan dan kos RM100 juta dijimatkan,” ujar Guan Eng.

Manakala, RM262.3 juta jelasnya , diperuntukkan untuk membayar hutang pinjaman projek bekalan air yang tidak perlu lagI dibelanjakan selepas perjanjian penghijrahan aset air kepada kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Aset Air Bhd. (PAAB).

“Ini adalah kerana kerajaan persekutuan diperlukan membina Empangan Air Mengkuang dan mengambilalih hutang pinjaman ini sebagai prasyarat Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan aset air kepada PAAB.

Tuntas dari itu, katanya, Laporan Ketua Audit Negara telahpun menyatakan bahawa daripada 2,489 projek yang telah diluluskan pada 2011, sebanyak 2,455 projek, iaitu 98.6 peratus telah siap sepenuhnya.

“Hanya dua perbelanjaan besar sebanyak RM 362.3 juta tidak dijalankan kerana lewat berjalan projek,” tegas beliau.

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, barisan kepimpinan negeri, usaha gigih rakyat dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri berhubung pencapaian cemerlang Pulau Pinang berdasarkan Laporan Audit Negara 2011 di sini baru-baru ini.
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, barisan kepimpinan negeri, usaha gigih rakyat dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri berhubung pencapaian cemerlang Pulau Pinang
berdasarkan Laporan Audit Negara 2011 di sini baru-baru ini.