Tahniah, hutang tertunggak negeri paling sikit!

GEORGETOWNPulau Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Kerajaan Negeri paling sedikit mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan pusat bagi tahun lepas, iaitu sebanyak RM2.59 juta sahaja.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu baru-baru ini berkata, pencapaian tersebut disebabkan Kerajaan Negeri komited membayar balik hutang mengikut tempoh yang dijadualkan oleh kerajaan pusat.

Pun begitu, katanya, kerajaan pusat seharusnya mencari jalan strategik untuk membantu Kerajaan-kerajaan Negeri lain dalam membayar balik pinjaman tertunggak masing-masing.

“Pulau Pinang, saya kira terlalu lurus lah…bayar, bayar, bayar (dan) bayar, akhirnya hutang kita (Kerajaan Negeri) paling kecil, iaitu RM2.59 juta,” ujar beliau dalam satu sidang akhbar bersamasama

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy. Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh dan Law Choo Kiang, Wong Hon Wai serta Law Heng Kiang antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir pada sidang media di Komtar di sini.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan, tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri yang berakhir pada akhir  tahun 2011 menyaksikan Kerajaan Negeri Kedah paling banyak berhutang, iaitu sejumlah RM836.30 juta, diikuti Terengganu (RM452.57 juta), Pahang (RM445.83 juta), Johor (RM432.29 juta), Negeri Sembilan (RM218.19 juta), Kelantan (RM197.12 juta), Melaka (RM138.25 juta), Perlis (RM113.79 juta), Selangor (RM60.70 juta), Sabah (RM55.77 juta), Sarawak (RM51.15 juta), Perak (RM43.94 juta) dan Pulau Pinang (RM2.59 juta).

Tuntas dari itu, Guan Eng menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan supaya mencari jalan untuk membantu semua Kerajaan Negeri melangsaikan hutang-hutang tertunggak masing-masing.

“Saya mungkin minta tindakan yang sewajarnya lah (dilakukan oleh kerajaan pusat),” ujar beliau.