Harap sumbangan jadikan Ramadan lebih bermakna – Salleh Man

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAYAN LEPAS – Seramai 623 orang umat Islam di Pulau Pinang menerima sumbangan wang tunai dan hamper pada Program Nur Ramadan 1435H anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sini baru-baru ini.

Majlis pemberian sumbangan itu adalah untuk membantu golongan kurang bernasib baik di negeri sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, program seumpama itu merupakan program tahunan anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban golongan yang layak menerima zakat menjelang musim perayaan.

“Walaupun sumbangan yang diberikan adalah tidak seberapa, sekurangkurangnya golongan ini tidak berasa seperti dipinggirkan oleh masyarakat menjelang bulan yang mulia ini.

“Dengan sedikit bantuan dan sumbangan, diharapkan ia akan menjadikan bulan puasa dan hari perayaan lebih bermakna dan ceria buat kita semua,” katanya pada Program Nur Ramadan 1435H di Masjid Umar Al Khatab di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Datuk Salleh Man (Yang di- Pertua MAINPP).

Tambahnya, program yang diadakan membuktikan bahawa kepimpinan negeri adalah amat prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

“ZPP dengan kerjasama MAINPP bertungkus-lumus menjejaki asnaf yang layak bagi mengagihkan bantuan pada hari ini.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa membela rakyat yang layak menerima bantuan tanpa sebarang birokrasi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh memberitahu, agihan zakat pada hari tersebut adalah sebanyak RM311,500.00.

“Saya berharap agar penerima bantuan (pada hari ini) dapat menggunakannya untuk menjadikan bulan Ramadan pada kali ini lebih bermakna.

“Semoga anak-anak dalam kalangan yang menerima sumbangan (pada hari ini) akan membesar sebagai warganegara berjaya sekaligus menjadi salah seorang pembayar zakat di negeri ini,” akhiri beliau.