Harapan besar terhadap Belanjawan 2022 Pulau Pinang

BANGUNAN DUN Pulau Pinang yang menjadi simbol tadbir urus Kerajaan Negeri secara demokrasi dan telus.

GEORGE TOWN – Seluruh penduduk Pulau Pinang sudah pasti tertunggu-tunggu pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual pada 26 November ini.

Belanjawan tahun ini dikatakan begitu penting kerana mengambil kira perkembangan semasa pelan pemulihan pasca pandemik COVID-19 yang telah masuk tahun kedua sejak 2020.

Mungkin juga belanjawan ini merupakan yang terakhir andai berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada awal tahun depan, seperti diperkatakan pelbagai pihak kebelakangan ini.

DANIEL Gooi Zi Sen

Namun, bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen, beliau berharap belanjawan akan datang masih menumpukan pada pelan pemulihan ekonomi rakyat.

“Ia (Belanjawan 2022 Pulau Pinang) mungkin adalah kesinambungan pada bajet yang dirangka serta diluluskan sebelum ini dengan kekal memberi tumpuan pada program pemulihan ekonomi rakyat yang bakal masuk fasa endemik.

“Bagi saya golongan yang mungkin tercicir daripada radar program bantuan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mungkin Kerajaan Negeri perlu mengisi kelompangan fiskal yang diperlukan oleh rakyat.

“Kalau dalam Belanjawan (2021 Pulau Pinang) sebelum ini banyak memberi tumpuan pada kerja-kerja pengagihan pek bekalan makanan melalui Pakej Bantuan Khas Penang Lawan COVID-19 yang mencecah jutaan ringgit, belanjawan akan datang mungkin perlu memberi tumpuan pada bantuan insentif berkaitan supaya rakyat yang hilang kerja boleh segera masuk dalam sektor pekerjaan.

“Sebagai contoh, apabila sektor pelancongan dan perhotelan serta sektor-sektor perkhidmatan berkaitan mula dibuka, permintaan tenaga kerja baharu wujud kembali; jadi Kerajaan Negeri perlu untuk mengambil bahagian untuk memudahkan mereka yang hilang kerja segera kembali mendapat kerja yang sepadan,” jelasnya semasa dihubungi Buletin Mutiara di Komtar pada 9 November 2021.

Di samping itu, beliau berkata peruntukan untuk infrastruktur awam perlu ditingkatkan lagi dalam Belanjawan 2022 Pulau Pinang, dengan mengambil kira mengenai senario perubahan iklim yang melanda tanah air ini.

“Macam baru-baru ini isu perubahan iklim kembali menjadi tajuk penting, yang mana banjir berlaku adalah disebabkan paras air laut meningkatkan dan sebagainya.

“Maka, saya fikir Kerajaan Negeri dengan kekangan kewangan yang ada seharusnya meningkatkan perbelanjaan untuk memperbaiki sistem perparitan serta mempercepatkan segala RTB (Rancangan Tebatan Banjir) yang telah dirancang sebelum ini,” katanya lagi.

SYERLEENA Abdul Rashid

Bagi ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid pula, beliau berharap Belanjawan 2022 Pulau Pinang akan turut memberi tumpuan pada projek infrastruktur yang boleh meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat terutama golongan orang kurang upaya (OKU).

“Bagi saya, dalam kawasan pentadbiran dan premis di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), segala kemudahan adalah mesra OKU, tetapi di luar kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan masih ‘kurang’.

“Sebagai contoh, di KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Seri Delima sendiri, kemudahan pejalan kaki yang mesra OKU adalah begitu terhad dan saya harap ada diberi tumpuan dalam belanjawan akan datang (2022),” ujarnya sambil memuji bajet tahunan negeri lepas yang begitu memberi tumpuan pada program-program membantu rakyat yang terjejas dek pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau berkata pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menyediakan peruntukan khusus bagi segera menyusun semula golongan penjaja tanpa lesen dalam premis-premis milik kedua-dua PBT.

“Selama kira-kira 20 bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020, ramai yang hilang kerja terpaksa menjadi penjaja tanpa lesen untuk kelangsungan hidup mereka.

“Jadi, saya berharap ada program khusus untuk menyusun semula golongan penjaja tanpa lesen ini, tanpa tindakan mengeluarkan kompaun atau menyita premis perniagaan sementara mereka,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian insentif khusus kepada ibu tunggal dan ibu tinggal serta wanita bujang yang berkorban hidup dengan memelihara ibu bapa mereka.

“Cadangan ini turut saya bawa dalam (agensi negeri) Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), kerana ada ramai ibu tunggal, ibu tinggal dan wanita berusia 40-an yang belum berkahwin tetapi sanggup memelihara ibu bapa mereka; tercicir daripada mendapat bantuan berkaitan… kalau dapat bantuan JKM pun, tak cukup sebenarnya,” katanya.

GOH Chon Aik

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang dihubungi kemudian pula berpendapat bahawa belanjawan negeri pada tahun hadapan seharusnya memberi tumpuan berkaitan meningkatkan perbelanjaan modal bagi sektor peladangan, pertanian, perniagaan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Selama hampir dua tahun kegiatan ekonomi negeri ‘diganggu’ dengan pandemik COVID-19, semua pihak semakin sedar mengenai peri penting sektor jaminan makanan… contohnya kita sedar industri ikan dalam dalam sangkar dan kolam, peladangan ayam serta jelapang padi bukan sahaja memberikan bekalan makanan kepada kita, bahkan memberi pulangan hasil berkaitan kepada kerajaan.

“Jadi, bagi saya eloklah Belanjawan 2022 Pulau Pinang meningkatkan peruntukan perbelanjaan modal untuk membeli dron (pesawat tanpa pemandu) yang sangat diperlukan di kawasan jelapang padi negeri; begitu juga jentera pertanian yang lain untuk aktiviti penternakan ikan dalam sangkar atau dalam kolam serta di ladang-ladang ayam.

“Pemberian bantuan tunai secara ‘one-off’ kepada ‘end user’ (rakyat yang terjejas dek pandemik COVID-19) tidak akan mewujudkan pengganda ekonomi yang lebih panjang, berbanding perbelanjaan modal dengan membeli jentera-jentera yang diperlukan dalam sektor-sektor ini,” jelasnya sambil berharap ada program bantuan modal khas berkaitan untuk mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan penternakan negeri.

Beliau turut menyokong penuh cadangan pentadbiran Kon Yeow mengemukakan tujuh projek infrastruktur negeri untuk dipertimbangkan pada peringkat Kementerian Kewangan pada awal Oktober lepas.

Projek yang dimaksudkan antaranya adalah pembinaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Padang Tembak; penarafan kemudahan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan; mewujudkan Butterworth Creative Centre dan naik taraf makmal Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) German Dual Vocational Training (GDVT).

“Selama dua tahun pandemik COVID-19, semua aktiviti ekonomi rakyat terganggu dan terhenti.

“Jadi, sebagai Kerajaan Negeri, tidak boleh mengurangkan perbelanjaan pembangunan; mesti minta kepada Menteri berkaitan untuk meluluskan tujuh projek infrastruktur negeri bagi segera memulihkan kembali ekonomi rakyat.

“(Dan) dengan pengurangan pelbagai cukai pada peringkat negeri, Kerajaan Negeri mesti terus mencari jalan untuk meningkatkan hasil dengan syarat tidak membebankan rakyat bawahan, antaranya meminta peruntukan persekutuan mengikut keperluan rakyat Pulau Pinang semasa ini,” jelasnya sambil berharap Belanjawan 2022 Pulau Pinang yang lebih besar berbanding bajet lepas, mengikut keperluan rakyat.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB