Isu alih tanaman, struktur tanpa kebenaran Pintasan Kelicap, perbincangan perlu diteruskan – ADUN Bayan Lepas

AZRUL Mahathir Aziz (kiri sekali) berbincang serta mendapatkan maklum balas awal daripada wakil MBPP berhuhung isu berbangkit di Pintasan Kelicap di sini tadi.

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz memberitahu bahawa sesi perbincangan lanjut antara penduduk taman perumahan dekat Pintasan Kelicap dengan wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung cadangan mengalihkan tanaman serta struktur tanpa kebenaran di atas bahu jalan senggaraan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan diteruskan sehingga mencapai kata sepakat.

 

AZRUL Mahathir Aziz

Menurut Azrul Mahathir, pada kebiasaannya pihak MBPP tidak akan ‘bertindak’ melainkan ada aduan daripada penduduk di sini sendiri.

“Setelah meneliti keadaan tanaman dan struktur tanpa kebenaran di sini, saya berharap sesi perbincangan lanjut dapat diadakan antara penduduk dan PBT.

“Bagi saya, surat arahan untuk mengalihkan tanaman dan struktur tanpa kebenaran yang dikeluarkan oleh MBPP dalam tempot 14 hari adalah notis pentadbiran sahaja, bukan notis penguatkuasaan lagi.

“Jadi, perlu perbincangan supaya kebun komuniti di sini diselenggara dengan lebih baik lagi, jika permohonan susulan penduduk mendapat kebenaran MBPP,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 9 November 2021.

Sebelum itu, Azrul Mahathir mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Landskap MBPP, Azizul Fahmi Muhamad.

Turut serta perbincangan tersebut adalah Penghulu Kanan Sungai Ara, Khairul Azuar Mohd. Khalid serta beberapa wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lokal.

Bercakap pada sidang media sama, Azizul Fahmi memberitahu bahawa MBPP sebenarnya sangat menyokong aktiviti kebun komuniti dengan syarat diselenggara dengan baik serta tidak mengundang bantahan berkaitan daripada mana-mana penduduk lokal.

“Kita tiada masalah dengan kebun komuniti, malah, penduduk di sini boleh memohon kebenaran untuk melaksanakan kebun komuniti di kawasan yang sesuai serta tidak mengganggu mana-mana pihak,” jelasnya lagi.

ANTARA struktur tanpa kebenaran MBPP yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara

Tinjauan umum yang dilakukan Buletin Mutiara selepas pada itu mendapatkan beberapa struktur tanpa kebenaran MBPP ditinggalkan di atas bahu jalan hingga mengganggu pejalan kaki di sini.

Semalam, suatu portal berita arus perdana melaporkan penduduk dekat Pintasan Kelicap membantah hasrat MBPP mengarahkan pengalihan tanaman serta struktur tanpa kebenaran di sini.

Jurucakap kumpulan penduduk berkenaan dilaporkan turut mendesak MBPP membatalkan notis yang dikeluarkan itu, sekali gus mengundang reaksi daripada ADUN Bayan Lepas hari ini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB