Harga ‘raja buah’ dijangka turun dua ke tiga minggu akan datang

Admin

TINJAUAN Buletin Mutiara berkenaan harga durian bagi tahun 2022 menerima reaksi yang pelbagai daripada para peniaga ‘raja buah’ tersebut di negeri ini.

Pemilik Durian 638 di Balik Pulau, LEE ENG LEONG berkata harga durian kini dilihat mengalami penurunan berbanding tahun lepas.

“Sekarang banyak buah (durian) dari Thailand juga masuk ke negara kita, maka berlaku lebih banyak persaingan sekali gus memaksa peniaga untuk menurunkan harga kerana bimbang buah tidak boleh jual.

“Kecuali durian jenis Musang King dan Duri Hitam yang mana harga masih kekal sama, cuma dalam masa dua hingga tiga minggu lagi saya rasa harga akan turun lagi,” ujar beliau yang mewarisi perniagaan tersebut daripada bapanya sejah lima tahun lepas.

Beliau yang berniaga hasil kebun sendiri juga berpendapat bahawa musim durian tahun ini mungkin lebih panjang berbanding musim-musim sebelumnya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh pemilik gerai Route P14, yang mahu dikenali sebagai Bon atau nama sebenarnya FAZLI ABDUL RAHMAN.

“Buah kampung dan buah kahwin paling ketara turun tahun ini manakala nama-nama durian yang popular masih kekal tetapi dijangka dua ke tiga minggu lagi akan lebih murah apbila buah semakin banyak di pasaran,” maklum beliau yang menjalan perniagaan di Anjung Indah Balik Pulau.

MUHAMAD RAJEN yang merupakan pekerja di premis Durian 786 Anjung Indah berpendapat bahawa sekarang merupakan masa yang sesuai untuk orang ramai membeli durian kerana harga masih lagi rendah.


“Sekarang masa yang sesuai kalau nak beli durian, bagi saya tidaklah begitu mahal seperti beberapa tahun lalu,” jelas warga Bangladesh yang bekerja di Anjung Indah itu.

Bagi AHMAD LATIF selaku pemilik gerai YB Durian Balik Pulau pula, harga ‘raja buah’ itu sedikit meningkat berbanding tahun lepas.

“Keadaan ini disumbangkan oleh kenaikan harga baja dan racun, tambahan pula pokok durian yang diusahakan ini adalah milik sendiri, jadi semua kos memang kena tanggung.

“Tengoklah dalam dua ke tiga minggu lagi mungkin akan turun apabila buah semakin bertambah,” jelasnya yang turut menjalankan perniagaan di Anjung Indah.

Kenaikan harga durian dalam pada itu turut disuarakan oleh VINCENT CHEW WENG SOON pemilik Durian Cap Tupai.

“Macam biasa tahun ini mahal sikit untuk permulaan berbanding masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tahun lepas.

“Saya pun rasa lagi dua tiga minggu lagi harga boleh turun apabila berlaku lambakan buah,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peminat durian di negara ini perlu bersedia dengan kemungkinan kenaikan yang tidak dapat dielakkan kerana beberapa faktor termasuk cuaca hujan berpanjangan sehingga memberi impak kepada pengeluaran durian.

“Persatuan memaklumkan mungkin akan ada kenaikan harga durian, tetapi kita tidak tahu berapa. Ada juga negeri yang melaporkan lebih 50 peratus kekurangan durian disebabkan cuaca.

“Jadi ia memberi kesan kepada pembungaan dan pendebungaan kerana apabila hujan lebat bunga akan gugur, sebab itu jangkakan pengeluaran berkurangan,” jelas beliau sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal dalam talian baru-baru ini.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI