Para SUKMA 2026: Skuad para olahraga Pulau Pinang sasar dua perak, tiga atlet mara ke final

Admin
img 7017 AKSI bertenaga dan cemerlang Muhammad Farhin Shamsul Amri, sebelum mengesahkan kedudukan mara ke peringkat final acara lempar cakera lelaki F13 sempena Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor di arena terbuka Stadium UiTM Shah Alam di sini menjelang tengah hari tadi (6 September 2026)

SHAH ALAM, SELANGOR – Tiga atlet para olahraga Pulau Pinang berjaya mengesahkan tempat ke peringkat akhir dalam kategori masing-masing sempena Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam, setakat tengah hari tadi.

Pengurus Pasukan Para Olahraga Pulau Pinang, Inderawati Mohamad Nasir, 46, mengesahkan bahawa dua atlet lelaki negeri, Benny Koay Hean Seng, 22, dan Muhammad Farhin Shamsul Amri, 26, mara ke saingan akhir bagi acara rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera kategori F13.

img 7016
BENNY Koay Hean Seng di arena acara lempar cakera lelaki kategori F13 di sini tadi.

Kejayaan tersebut turut disusuli seorang lagi atlet wanita, Siti Aliza Azaman, 28, yang mara ke pusingan akhir bagi kategori sama.

img 7003
INDERAWATI Mohamad Nasir

Ditanya lanjut, beliau berkata, tumpuan utama skuad negeri kini terarah kepada acara lempar cakera yang menyaksikan pembabitan Benny dan Muhammad Farhin.

Menurut Inderawati lagi, pihak pengurusan menetapkan sasaran dua pingat perak menerusi gabungan acara rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera lelaki F13.

img 7012
ONG Boon Kok

Sementara itu, Ketua Jurulatih Para Olahraga Pulau Pinang, Ong Boon Kok, 52, yang ditemui kemudian berkata, beliau berharap anak-anak buahnya mampu mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Beliau optimis keberadaan ketiga-tiga atlet tersebut di pentas akhir membolehkan kontinjen negeri membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat perak.

Dalam perkembangan berkaitan, khemah Pulau Pinang turut menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Negeri, Rohana Yusof, pada tengah hari tadi bagi memberi sokongan moral kepada barisan jurulatih dan atlet para negeri.

img 7018
ROHANA Yusof (tengah) merakamkan gambar dengan barisan atlet para olahraga negeri, sebelum mengadakan lawatan ringkas ke khemah Pulau Pinang di sini pada tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun, beberapa saingan yang dijadualkan pada sesi petang membabitkan empat jenis sukan, iaitu olahraga, memanah, renang dan boling padang yang berlangsung di arena terbuka terpaksa ditangguhkan ke hari berikutnya.

Kata wakil pengurus kejohanan, penangguhan dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sekitar kawasan pertandingan berada pada paras tidak sihat, iaitu melebihi 100.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG (MSNPP)