Hari Malaysia dihayati, diteladani sebagai pemangkin semangat pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang berjaya – TKMI

Admin
SEBERANG JAYA – Sambutan Hari Malaysia seharusnya  dikenang dan diselami penuh penghayatan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah dan Sarawak, sebaliknya rakyat Malaysia khususnya.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sejak Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 16 September sebagai sambutan Hari Malaysia, sebilangan besar rakyat hanya mengingatinya sebagai hari cuti sahaja, tanpa membawa apa-apa makna.
Katanya, sebahagian besar dari kita hanya mengingati 31 Ogos 1957 sebagai Hari Kemerdekaan sahaja, berbanding dengan penyatuan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
“Mentaliti inilah yang harus diubah dan diterap agar Hari Malaysia dikenang dan disambut dengan penuh penghayatan.
“Marilah kita mengingati ini sebagai sebahagian daripada sejarah yang hanya bukan sekadar masa silam, tetapi satu peristiwa yang perlu dihayati dan diteladani sebagai satu pemangkin serta pembangkit semangat dalam pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang kuat dan berjaya,” ujarnya yang merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Seberang Perai Arena, di sini pagi ini.
Berangkat menyempurnakan majlis sambutan, Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Timbalan Menteri Belia & Sukan, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri serta Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut hadir memeriahkan sambutan itu.
Ahmad Zakiyuddin juga turut melahirkan harapan agar rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan etnik dapat hidup lebih harmoni dan sejahtera dalam suasana negara yang penuh muhibbah.
“Marilah kita sama-sama tanamkan sifat muafakat, hidup sejahtera dan aman ke arah kemakmuran yang berkekalan.
“Untuk memastikan semua perancangan, visi, misi dan blueprint yang telah dirancang berjaya,  Negeri Pulau Pinang juga tuntas untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan sejajar dengan hasrat Malaysia baharu.
“Kerjasama ini diharap membuahkan hasil dan memberikan pulangan yang baik kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.
Pemenang kawad terbaik bagi kategori  badan beruniform sekolah, Institut Pengajian Tinggi dan Institut Latihan, pancaragam sekolah, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor awam sempena  Hari Kemerdekaan lalu turut diumumkan pada majlis berkaitan.
Kawad terbaik bagi sektor awam digondol okej Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Utara sekaligus membawa pulang piala iringan, piala pusingan dan wang tunai RM1,000.
Manakala, dua anugerah lain yang turut diumumkan  adalah Kontinjen Terbaik yang dinobatkan kepada Jabatan Perpaduan Negara Pulau Pinang dengan anggota perbarisan terbanyak meliputi 1,039 peserta serta Pertandingan Mengibar Dan Menghias Jalur Gemilang, milik Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Rambai Fasa 4, Daerah Seberang Perai Tengah.