Hari Tanpa Kenderaan buka peluang niaga

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri bersama-sama memeriahkan sesi senamrobik Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bersama-sama memeriahkan sesi senam robik Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebagai pembukaan lembaran baru tahun 2012, satu sesi senam robik yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah diadakan secara besar-besaran bersama rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Yang DiPertua (YDP) MPPP, Ar. Patahiyah Ismail turut turun padang bagi memeriahkan program yang diadakan selama dua jam bermula tepat pukul 8.00 pagi bertempat di Lebuh Pantai di sini, baru-baru ini.

Bersempena program berkenaan, kawasan Lebuh Pantai meriah dengan ribuan masyarakat berbilang kaum, bangsa, agama dan peringkat umur bagi mengikuti senamrobik bersama-sama dengan Ketua Menteri dan sekaligus tidak melepaskan peluang untuk mengenali pemimpin tertinggi di pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbabit.

Dalam pada itu, program senamrobik yang diadakan juga bersempena dengan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap hari Ahad bermula jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang yang telah digazetkan oleh MPPP dan Kerajaan Negeri iaitu sebahagian Lebuh Pantai di antara Lebuh Cina dan Lebuh Union (256 meter), sebahagian Lebuh Gereja di antara Lebuh Pantai dan Lebuh Penang (182 meter), sebahagian Lebuh Bishop di antara Lebuh Pantai dan Lebuh Penang (186 meter) serta Gat Lebuh Gereja (211 meter).

Semua kenderaan bermotor seperti motosikal, kereta dan bas tidak dibenarkan untuk melalui jalan-jalan berkenaan bagi membuka ruang kepada peniaga di sekitar kawasan terlibat untuk menjalankan perniagaan pada setiap hari Ahad dengan lebih selamat.

Selain itu, pelaksanaan Hari Tanpa Kenderaan juga diharapkan dapat mencetuskan lebih banyak peluang perniagaan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang diketahui umum dan menjadi tumpuan para pelancong.

Turut sama memeriahkan aktiviti senamrobik pada hari tersebut ialah beberapa orang Ahli Majlis MPPP serta kumpulan ‘skaters’ tempatan dan Singapura.