Hasil keputusan berani, PP dapat nikmati kemudahan lebih baik di SPICE

BAYAN LEPAS – Dalam usaha meningkatkan daya saing pelaburan langsung asing (FDI) dan menjadi sebagai salah satu destinasi pilihan bagi mesyuarat (Meetings), insentif (Incentives), konvensyen (Conventions) dan pameran (Exhibitions) – (MICE) di rantau Asia Tenggara, penaiktarafan Subterranean Penang International Convention & Exhibition Centre (SPICE) dilihat sebagai satu keperluan infrastruktur yang perlu dibangunkan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Akuatik di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon serta barisan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Patahiyah Ismail dan Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen.

Guan Eng ketika mengulas berhubung usaha penaiktarafan tersebut menyatakan bahawa ia adalah seiring dengan perkembangan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan pelabur, sebuah hab perniagaan antarabangsa dan terdapat keperluan untuk memiliki sebuah pusat pameran berskala besar serta bertaraf antarabangsa di negeri ini.

“Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa bidang untuk penambahbaikan dalam usaha menarik lebih banyak FDI ke sini.

“Satu daripadanya adalah ‘meremajakan’ semula PISA (Penang International Sports Arena, tapak SPICE kini) dan membina sebuah pusat konvensyen bertaraf antarabangsa dengan struktur yang lebih moden dan dinamik.

“Meskipun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang negeri dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) pada ketika itu, hasil daripada keputusan berani yang telah dibuat, Pulau Pinang kini dapat menikmati kemudahan yang lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, Guan Eng turut mengumumkan laluan transit aliran ringan (LRT) yang akan turut melalui SPICE sekiranya Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang dilaksanakan.

“Lokasinya yang strategik serta berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, SPICE akan meningkatkan lagi penawaran perkhidmatan MICE di Pulau Pinang,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Selain pembinaan sebuah pusat konvensyen baru yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan, SPICE turut mempunyai sebuah pusat akuatik dengan kolam renang bersaiz olimpik dan taman tema air.

Serentak itu, ia turut dilengkapi dengan kemudahan sukan seperti gelanggang badminton, gelanggang skuasy, gimnasium, kafe, klinik sukan dan sekolah renang yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 11 malam termasuk cuti umum