Laksana Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, libat penjimatan RM200 juta

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Kakitangan perkhidmatan awam yang berkhidmat di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) diseru untuk melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di pejabat masing-masing.

Langkah tersebut adalah perlu memandangkan Kerajaan Negeri kini dalam persediaan melaksanakan dasar berkaitan secara berperingkat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang merangka peraturan dan garis panduan mengenai kaedah pelaksanaan pengasingan sisa di punca agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Jelas beliau, pelaksanaan peraturan baharu tersebut digubal mengikut Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah di Punca serta Undang-undang Kecil Pengurusan dan Penyediaan Perkhidmatan Pemungutan Sampah.

“Secara umumnya, Kerajaan Negeri kini sedang membuat persiapan untuk pelaksanaan dasar ini yang akan dikuatkuasakan secara mandatori pada 1 Jun 2016.

“Pelaksanaan dasar ini adalah membabitkan pengasingan sisa mengikut komposisi iaitu plastik, kertas, aluminium, kaca, logam, sisa domestik dan lain-lain sisa yang boleh dikitar semula,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Dasar Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Kompleks Kerajaan di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye yang mewakili Datuk Bandar MBPP dan Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memberitahu bahawa tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan terhadap sesiapa yang tidak mematuhi dasar berkenaan kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) faham, orang ramai memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri memandangkan kejayaan dasar ini juga bergantung kepada kesediaan serta kefahaman umum terhadap kepentingan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

“Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PGC kini giat melaksanakan program-program publisiti serta pendidikan di semua peringkat termasuk mengadakan pameran hijau, kempen rumah ke rumah, penganjuran Anugerah Sekolah Hijau dan sebagainya bagi memastikan orang ramai benar-benar faham akan konsep pelaksanaannya,” jelas beliau.

Statistik terkini menunjukkan sejumlah 1,700 tan sampah dari seluruh negeri dikutip dan dilupuskan di tapak pelupusan Pulau Burung. Malah, MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut memperuntukan RM95.64 juta dan RM98.99 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sekiranya pelaksanaan dasar berkaitan berjaya, ia membolehkan penjimatan Kerajaan Negeri mencecah RM200 juta.

Bermula 1 Februari lalu, pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Komtar akan dibuat secara berperingkat iaitu melibatkan gerai-gerai di Paras 1 serta Paras 3, pejabat MBPP, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pejabat Jabatan Kerajaan Negeri. Seterusnya, ia juga akan turut dilaksanakan di pejabat Jabatan Negeri dan pejabat Jabatan Persekutuan serta agensi-agensi lain di seluruh menara Komtar.if (document.currentScript) {