Pulau Pinang tuan rumah Kongres Makanan Laut Sedunia, September 2019

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Kongres Makanan Laut Sedunia pada September 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, pengumuman itu sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi
pertama di Asia Tenggara berhubung penganjuran kongres berprestij berkaitan.

“Selain menjadi satu pengiktirafan untuk Pulau Pinang, melalui kongres ini juga kita (Kerajaan Negeri) dapat belajar serta menimba
pengalaman daripada kumpulan pakar dan apa yang perlu Kerajaan Negeri lakukan untuk memperbaiki industri perikanan serta akuakultur tempatan,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, sektor perikanan Pulau Pinang pada tahun 2016 mencatatkan hasil sebanyak RM1.3 bilion atau USD 300 juta.

“Kami (Kerajaan Negeri) percaya kongres ini akan memberi kesan kepada angka-angka pencapaian sedia ada, serta membawa lebih
banyak kesedaran dan inovasi kepada industri perikanan Pulau Pinang, selain mendedahkan piawaian serta amalan dunia kepada pembuat dasar tempatan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Tambah Guan Eng, kongres tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE, dengan Penang Institute (PI) sebagai tuan
rumah penganjur serta disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) dan Biro
Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB).

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin berkata, pihaknya turut berharap kongres tersebut
bakal memberi kesan berantai kepada perkembangan inovasi dalam sektor perikanan tempatan dan rantau Asia.

“Kami berharap Kongres Makanan Laut Sedunia yang akan datang ke Pulau Pinang bakal membantu membuka jalan untuk tuan  rumah Asia yang lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden IAFI, Carey Bonnell semasa Kongres Makanan Laut Dunia 2017 (WSC) di Reykjavik, Iceland pada 10 hingga 13 September 2017 mengumumkan pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah penganjuran kongres bagi tahun 2019.

Kongres Makanan Laut Dunia dimulakan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) serta Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNIDO) dan dimiliki oleh Persatuan Antarabangsa Inspektor Ikan (IAFI).

Pertama kali dilaksanakan di Halifax pada tahun 1969, dengan satu institusi tempatan dipilih dari negara tempat penganjuran kongres itu.

Sehingga kini, kongres itu diharap menjadi platform untuk pertukaran maklumat, idea serta metodologi bagi sektor makanan laut, pemeriksaan, pengurusan kualiti dan teknologi pemproses makanan laut.