Hasrat warga emas duduki rumah sendiri tercapai

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

MANSOR Othman (kiri sekali) menyerahkan replika kunci rumah kepada Tan Han Eng (dua dari kanan) sambil diperhatikan Khalijah Man (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dalam Program Bantuan Rumah di Kuala Mengkuang di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kiri sekali) menyerahkan replika kunci rumah kepada Tan Han Eng (dua dari kanan) sambil diperhatikan Khalijah Man (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dalam Program Bantuan Rumah di Kuala Mengkuang di sini baru-baru ini.

PENANTI – Hasrat dua warga emas untuk menduduki rumah sendiri akhirnya tercapai hasil insiatif khas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Ulu/Kuala Mengkuang di sini baru-baru ini.

Warga emas, Khalijah Man, 65, dan Tan Han Eng, 67, ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dalam Program Bantuan Rumah di Kuala Mengkuang menyatakan bahawa mereka berasa cukup gembira dengan bantuan diberikan berkenaan. Tambahan pula, rumah tersebut turut dilengkapi kemudahan air dan elektrik.

Menurut Khalijah yang mengambil upah sebagai penoreh getah, sebelum ini, beliau hanya tinggal menumpang di tanah orang sejak puluhan tahun lalu dengan keadaan rumah yang sangat daif bersama keluarganya.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk menduduki rumah yang selesa dan sempurna. Ini kerana, sejak 40 tahun lalu saya hanya menumpang rumah di tanah orang.

“Saya selalu mengimpikan rumah sendiri, namun, ianya mustahil bagi saya kerana pendapatan mengambil upah menoreh getah hanya sekadar cukup untuk belanja keperluan saja,” katanya di sini baru-baru ini yang menyatakan bahawa nasibnya berubah selepas lawatan serta bancian yang dibuat pihak JKKK Kubang Ulu/Kuala Mengkuang yang diketuai Pengerusinya, Azmi Abdullah sebelum ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Datuk Mansor Othman diiringi Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Suhaidi Sulaiman.

Sementara itu, bagi Han Eng, beliau amat terharu di atas sumbangan rumah bernilai RM33,000 tersebut dan berterima kasih kepada pihak yang membantunya.

“Terima kasih Datuk (Mansor). Terima kasih (Lim) Guan Eng. Saya orang Cina miskin sangat terima kasih pada kerajaan (negeri) ini. Saya seronok,” katanya.