HDB Singapura hanya rancang & reka bentuk, kerja pembinaan libatkan kontraktor tempatan

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang diingatkan supaya tidak terpengaruh oleh sentimen perkauman pembangkang di sebalik pelantikan perancang perumahan mampu milik paling terbilang di dunia, Housing Development Board (HDB) Singapura bagi membina 12,000 unit rumah mampu milik yang berkualiti di Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Ingatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng itu sebagai respons pendirian UMNO Pulau Pinang mempertikai langkah Kerajaan Negeri kerana tidak melantik rakyat tempatan untuk menguruskan projek mega tersebut.

“Memainkan sentimen anti-Singapura adalah bukan sahaja provokasi perkauman tetapi juga double-standard kerana apabila Singapura datang ke (Wilayah Pembangunan) Iskandar, Johor tiada masalah tetapi tidak di Pulau Pinang.

“Taktik ekstremis sedemikian oleh UMNO tidak berkesan di Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang menyokong usaha ikhlas Kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyediakan rumah mampu milik terbaik untuk golongan miskin di Malaysia,” nyatanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pelantikan HDB Singapura adalah berdasarkan rekod syarikat tersebut di persada dunia.

Malah, tegasnya, HDB Singapura tidak terlibat dalam proses pembinaan, sebaliknya, hanya untuk merancang dan mereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia. Manakala, kerja-kerja pembinaan akan diberikan melalui tender terbuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan.