KERABAT teruskan pendaftaran ahli baru

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SEBAHAGIAN ahli KERABAT tidak melepaskan peluang bergambar kenangkenangan bersama Abdul Halim Hussain (hadapan, enam dari kanan) dan Yusmadi Yusoff (hadapan, tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sumbangan KERABAT di Dewan Bailora Mastika di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN ahli KERABAT tidak melepaskan peluang bergambar kenangkenangan bersama Abdul Halim Hussain (hadapan, enam dari kanan) dan Yusmadi Yusoff (hadapan, tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sumbangan KERABAT di Dewan Bailora Mastika di sini baru-baru ini.

PULAU BETONG – Bagi membela nasib pesara-pesara tentera, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong telah mengambil inisiatif khas untuk meneruskan pendaftaran ahli-ahli baru pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (KERABAT) di sini baru-baru ini.

Menurut PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, penubuhan persatuan tersebut adalah atas keperihatinan dan kesedaran berhubung nasib yang menimpa pesara-pesara tentera.

“Penubuhan persatuan ini adalah ekoran pelaksanaan Persatuan Bekas Parajurit yang dilihat tidak mampu mengubah nasib ahlinya.

“Oleh itu, kita prihatin dan sedar mengenai isu ini. Maka pada hari ni, kita adakan pendaftaran KERABAT dan penerangan kepada pesara tentera ini mengenai betapa pentingnya bernaung di bawah KERABAT,” kata Mohd. Tuah pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sumbangan KERABAT di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan Pengerusi KERABAT Pulau Betong, Ghazali Hashim.

Turut disampaikan dalam majlis sama adalah sumbangan khas kepada keluarga pesara tentera dan balu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan.

“Kita yakin, KERABAT mampu membela nasib bekas tentera dari pelbagai perkhidmatan sama ada darat, udara mahupun air,” ujar Mohd. Tuah yang turut menyatakan bahawa sehingga hari ini jumlah keahlian KERABAT di Pulau Pinang telah mencecah lebih daripada 700 ahli.