HEB terima kenaikan peruntukan tahunan, umum KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan kenaikan peruntukan tahunan Lembaga Wakaf Hindu (Hindu Endowment Board – HEB) daripada RM1.1 juta kepada RM1.5 juta mulai tahun 2018.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Ponggal yang diadakan di Kuil Arulmigu Devi Sree Veerapathra Maha Kaliamman dekat sini.

Menurut Guan Eng, kenaikan peruntukan tahunan tersebut adalah bagi membolehkan HEB untuk menguruskan hal ehwal pentadbirannya termasuk menguruskan bangunan pejabat di Jalan Macalister yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

“Peningkatan dana tersebut juga akan membolehkan pihak HEB menguruskan pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang yang layak.

“(Dan) ia (kenaikan peruntukan) hanya boleh dilaksanakan melalui tadbir urus CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

“Tadbir urus CAT telah membolehkan Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan belanjawan sejak 2008 selain kenaikan rizab tunai 100 peratus serta mengurangkan hutang negeri sehingga 90 peratus,” ucapnya pada majlis berkaitan barubaru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Pengerusi HEB; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam merangkap Timbalan Pengerusi HEB, A. Tanasekharan serta Ahli-ahli Lembaga Eksekutif HEB.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menzahirkan ucapan tahniah kepada HEB dan Lembaga Kuil Arulmigu Devi Sree Veerapathra Maha Kaliamman kerana berjaya menganjurkan Sambutan Hari Ponggal Peringkat Negeri di kuil baharu tersebut.

“Semua rakyat di Pulau Pinang boleh lihat perbezaan dalam tempoh 10 tahun ini termasuklah pembinaan kuil baharu ini (Kuil Arulmigu Devi Sree Veerapathra Maha Kaliamman)

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) akan berusaha lagi demi kemakmuran dan kesejahteraan semua…tahniah dan syabas.” ujarnya yang turut serta bersama-sama masyarakat India meraikan Hari Ponggal 21 Januari lalu.