Kompleks Penjaja Taman Tasek Mutiara siap dibina

SUNGAI BAKAP – Kompleks Penjaja Taman Tasek Mutiara bernilai RM4.1 juta yang siap dibina diharap akan mendapat sambutan daripada para penjaja serta pengunjung setempat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap di kompleks ini pun turut boleh melaksanakan amalan hijau seperti Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, kitar semula serta pemasangan perangkap minyak dan sisa.

“ Saya berharap bermula pada hari pertama kemudahan (kompleks penjaja) ini digunakan, ia diselenggara dan dijaga dengan baik supaya masalah berhubung dengan kerosakan pada kemudahan awam serta peralatan-peralatan di kompleks ini tidak berlaku,” jelasnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Kompleks Penjaja Taman Tasek Mutiara di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Jawi, Soon Lip Chee dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, projek tersebut menjadi satu lagi simbol bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kini melaksanakan pembangunan seimbang, dengan lebih memberi peruntukan untuk pembangunan di bahagian Seberang Perai berbanding (bahagian) pulau.

“70 peratus peruntukan adalah untuk pembangunan di bahagian Seberang Perai, dan 30 peratus sahaja di bahagian pulau kerana Kerajaan Negeri mahu pembangunan yang lebih seimbang.

“Salah satu tumpuan pembangunan yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri adalah di Seberang Perai Selatan,” jelasnya.