Henti ganggu ekosistem Taman Bandar Arkeologi Sia Boey, gesa ADUN

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng menasihati orang awam supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh mengganggu dan merosakkan ekosistem Terusan Perangin dekat Taman Bandar Arkeologi Sia Boey, di sini.

Teh Lai Heng.

Beliau berkata, tindakan segelintir pengujung memberikan makanan kepada ikan-ikan yang dilepaskan di terusan tersebut dikhuatiri mengganggu kestabilan ekosistem selain boleh mencemarkan air.

“Taman ini menyediakan ruang rekreasi yang selesa dan indah serta Terusan Prangin yang direka sebagai “self-sustaining water body” untuk memelihara ikan koi dan ikan tilapia, serta dapat mengelakkan pembiakan larva nyamuk.

“Namun begitu, ada segelintir pengunjung mula memberi makanan kepada ikan-ikan ini selain melepaskan ikan patin, ikan keli dan kura-kura ke dalam terusan yang mana tindakan ini telah mengganggu kestabilan ekosistem serta mencemarkan air.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak memberikan makanan kepada ikan-ikan ini dan janganlah lepaskan apa-apa (jenis) ikan-ikan baru ke dalam terusan.

Antara spesies ikan yang terdapat di Terusan Perangin.

“Bersama-samalah kita menjaga taman bersejarah dan bermakna ini dengan menghentikan sebarang tindakan yang boleh merosakkan keindahan serta ekosistem taman,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan lawatan tapak dekat sini pagi ini.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.

Dalam perkembangan berkaitan, Lai Heng memberitahu bahawa projek penyelenggaraan Terusan Perangin yang dijalankan mulai 27 Oktober sehingga 19 November lalu kini siap sepenuhnya.

Katanya lagi, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut yang menelan kos sebanyak RM18,500 dibiayai sepenuhnya oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Objektif projek ini adalah untuk memulihkan ekosistem serta memudahkan penyelenggaraan Terusan Prangin kelak.

Kerja-kerja pembersihan terusan giat dijalankan.

“Selain itu, ia juga bertujuan memulihkan kembali ekosistem dan kebersihan dalam terusan termasuklah pembersihan lapisan lumpur tebal yang disebabkan oleh perkumuhan ikan dan pertumbuhan alga.

“Semasa pembersihan dijalankan, ikan-ikan telah dikeluarkan merangkumi lebih 1,400 ikan tilapia; 250 ikan koi; ikan patin (8); ikan keli (4) dan kura-kura (2),” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN