Hotel ‘warisan’ harap mampu tambah pelancong

GEORGE TOWN – Pembukaan Hotel Armenian Street Heritage di Lebuh Carnovan diharapkan akan menarik lebih ramai lagi pelancong ke Tapak Warisan Dunia George Town.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, istimewanya hotel tersebut adalah kerana menawarkan 92 bilik pelbagai saiz dilengkapi dengan seni bina serta aksesori yang mempunyai nilai warisan sejarah tidak ternilai.

“Hotel ini adalah salah satu daripada 1,700 bangunan yang berdiri dalam keunikan. Nilai sebenar aura sejarah George Town adalah terlalu unik untuk ditentukan.

“Pembukaan ini akan menambahkan lagi bilangan pelancong dan pengunjung ke Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Hotel Armenian Street Heritage di sini baru-baru ini.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Mark Lankester (Ketua Eksekutif Kumpulan Hotel Tune) dan Datuk Yong Chai Seng (Pengerusi Hotel Armenian Street Heritage) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, tiga ahli lembaga pengarah Hotel Armenian Street Heritage, Datin Lau Geok Choon, Ir. Dr. Koh Hwa Cheah dan Ting Tin Siang.

Guan Eng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Penerangan, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, penginap hotel tersebut turut boleh menikmati pemandangan indah yang sebenar di sekitar George Town.

“Malahan, ia berdekatan dengan Muzium Warisan, kuil, kedai-kedai makan dan lukisan-lukisan jalanan oleh artis, Ernest Zacharevic yang terkenal di dunia. Ini adalah penginapan yang tepat,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan hotel tersebut kerana menyediakan ruang di tingkat dua untuk kegunaan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Ruang itu, nyatanya, diharap dapat dijadikan ruang pameran model terbesar kawasan warisan kepada pelancong, orang awam dan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tapak Warisan Dunia George Town.