Roshannisa harap lasagna curi pasaran halal

BELIAU antara peserta yang mengisi 266 gerai pameran di Persidangan dan Pameran Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) Ke-5 selama tiga hari bermula pada 17 Januari lepas di Subterranian Penang International Conference & Excibition (sPICE) dekat Bayan Baru.

Bau bakaran ‘lasagna’ dekat gerai pameran G51 di sini cukup untuk membangkitkan perasaan untuk mencuba roti pizza tersebut.

Dari situ, membawa wartawan Buletin Mutiara (BM) ZAINULFAQAR YAACOB mewawancara pemilik H’aNNiSa Bakes, Puan Roshannisa Che Kassim, 40.

Roshannisa baru dua tahun terjun dalam dunia bakeri. Sebelum ini, beliau bekerja makan gaji di sebuah firma perkapalan terkenal, selama hampir 20 tahun.

Selepas berpisah hidup dengan suaminya, beliau mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia keusahawanan demi masa depan anak-anaknya.

Dua anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan tujuh tahun.

Manakala, anak sulung perempuan beliau berusia 18 tahun dan merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Masa lebih terbatas jika kerja makan gaji, pilih untuk berniaga sendiri supaya saya mempunyai banyak masa untuk memberi lebih tumpuan pada anak-anak, terutama kakak (OKU),” ujar Roshannisa baru-baru ini.

Selain lasagna, Roshannisa berkata, beliau turut baking dan memasarkan pelbagai jenis roti lain, antaranya sosej piza, keju mentega, tiger-roll dan tuna meyo.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menjadi pembekal bihun jenama Sufi, iaitu produk usahawan Bumiputera terkenal di Utara Semenanjung Malaysia.

Pendek kata, hidup bergelar ibu tunggal bukan mudah, tetapi, Roshannisa berkata, beliau senantiasa percaya dengan ketentuan Allah.

“Saya menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak.

“Tiga kali saya gagal mendapatkan sumbangan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk sayasebagai ibu tunggal, tetapi, Allah murahkan rezeki anak-anak saya melalui jalan berniaga ini.

“Alhamdulillah, dulu Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Alhamdulillah, sekarang Allah pilih saya menjadi usahawan,” katanya.

CABARAN BERGELAR USAHAWAN

Kini, Roshannisa bersyukur kerana usahanya sejak dua tahun lepas mula menelurkan hasil, dengan pulangan bersih tiap-tiap bulan antara RM1,500 hingga RM2,000.

“Tiada apa-apa yang istimewa. Saya pergi belajar di beberapa kelas bakeri dan baking roti dan jual sendiri.

“Tapi, saya masih ingat, modal mula-mula berniaga saya dulu RM20, sebelum mendapat pinjaman mikro kredit untuk membeli mesin pengadun dan pembakar roti yang lebih besar ini,” jelas beliau.

Produk H’aNNiSa Bakes kini sudah menembusi pasaran sekolah-sekolah di sekitar Seberang Perai, antaranya di Sekolah Menengah Pokok Sena, Sekolah Menengah Permatang Tok Jaya, Sekolah Menengah Bertam Indah dan sebagainya.

Pasta, keju, tomato yang berintikan daging atau ayam merupakan antara adunan utama lasagna enak itu.

“Di sekolah, cikgu-cikgu ada yang pesan lasagna daripada anak-anak, ada yang terus menghubungi saya.

“Lasagna ukuran 6 inci X 6 inci berharga RM35, ukuran 6 inci X 3 inci RM15.

“Sebenarnya produk – produk berasaskan roti H’aNNiSa Bakes ini sudah sampai ke Johor, sekarang,” ujar beliau.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Walaupun dihambat oleh aktiviti keusahawanan serta tanggungjawab berkeluarga, Roshannisa masih menyimpan cita-cita untuk membina dunia keusahawanan khusus untuk golongan ibu tunggal.

Buat masa ini, Roshannisa menggabungkan diri dengan kerja-kerja sosial bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Siakap, sehingga diberi kepercayaan sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita komuniti setempat.

Terbaru, Roshannisasen diri menganjurkan Bengkel Demonstrasi Baking Roti di Dewan Masjid Sebarang Jaya pada 15 Februari depan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan Jawatankuasa Qaryah Masjid.

“Orang kata, usahawan sibuk. Tapi, saya percaya, orang yang sibuk sahaja ada masa untuk anak-anak dan masyarakat, khususnya golongan ibu tunggal seperti saya,” katanya.

HARAPAN

Roshannisa berkata, beliau berharap lasagna mampu mencuri pasaran pengguna.

“Ini kali pertama saya menyertai persidangan peringkat antarabangsa (PIHEC 2014). Bukan mudah untuk dapat peluang sebegini.

“Saya berharap jaringan perniagaan saya boleh berkembang lebih sihat serta mencuri pelanggan berpotensi melalui PIHEC kali ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Roshannisa turut merakamkan penghargaan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim serta Dr. Afif (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) kerana memberi gerai pameran secara percuma kepada usahawan terpilih Bumiputera dalam kalangan ibu tunggal.

“Ini, bagi saya rezeki anak, terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” ujar Roshannisa lagi.

Layari www.facebook.com / HaNNisaBakes serta www.hannisabakes. com.my warta segera memesan lasagna dengan menghubungi 013 – 273 6947 atau emel, http://hannisabakes.gmail.com.