Ibu tunggal penjual kuih jalanan ditawarkan gerai MPSP

Admin

SEBERANG JAYA – Ibu tunggal yang acapkali dilihat menjual makanan di celah-cecah kesesakan trafik dekat jalan utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh mendapat perhatian daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Maryam Ayob, 62, ditawarkan sebuah gerai makanan di astaka MPSP berhadapan Politeknik Seberang Perai Tengah (SPT).

“Sudah tiga kali, saya ingin menawarkan sebuah gerai kepada Puan Maryam, tapi ditolak.

“Pada petang ini, oleh kerana Puan Maryam tidak berniaga di jalan ini, kita bercadang untuk terus ke rumahnya bagi menyerahkan surat tawaran sebuah gerai niaga.

“Berniaga di atas jalan adalah salah, berbahaya untuk diri Puan Maryam, juga pengguna jalan raya yang lain, maka kita tawarkan kepada beliau gerai,” kata Ahli Majlis MPSP, Shuhada Abdul Rahim kepada pemberita di perkarangan depan UiTM Kampus Permatang Pauh dekat sini pada 15 Mac 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan serta beberapa pegawai MPSP turut sertai sidang media itu.

Rombongan MPSP kemudiannya disambut baik oleh Puan Maryam dekat rumahnya di Kampung Permatang Janggus.

Puan Maryam merakamkan penghargaan atas inisiatif MPSP menawarkan sebuah gerai niaga.

Puan Maryam memberitahu bahawa beliau baru kematian suami pada tahun lepas, dan kini tanggungjawab menyara seorang anak, orang kurang upaya (OKU).

Menurut Puan Maryam, kehidupan keluarga bertambah susah apabila RM197,000 duit pencen Allahyarham suaminya dipercayai telah ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami susah, duit jual kuih ini adalah untuk menyara saya dan anak,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIZ