Ikut jejak langkah KN jaga alam sekitar

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa Kerajaan Pusat patut mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri dalam menjaga alam sekitar.

Jelas beliau, melalui subsidi rakyat yang dipotong, Kerajaan Pusat sepatutnya memberi bantuan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Kerajaan Pusat juga harus lebih agresif dalam menggalakkan ekonomi hijau iaitu menukarkan penghasilan bahan sisa buangan menjadi suatu sumber berguna sekaligus meningkatkan pendapatan rakyat bagi menghadapi kenaikan harga barang yang meruncing kini,” ucapnya dalam penganjuran Karnival Kitar Semula Perkampungan Permatang Tinggi di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Heng.

Program tersebut merupakan anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Dalam pada itu, Kon Yeow semasa merasmikan karnival tersebut menyatakan bahawa program tersebut merupakan inisiatif terbaik bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa betapa pentingnya inisiatif kitar semula.

“Melalui program-program anjuran MPSP ini, penduduk semakin sedar bahawa betapa pentingnya menghargai alam sekitar.

“Ini dapat dibuktikan apabila MPSP berjaya mencapai sasaran kadar kitar semula sebanyak 32 peratus pada tahun 2013 berbanding sasaran 31 peratus,” ujarnya.

Selaras itu, beliau turut mengingatkan penduduk di sini agar menjadikan amalan kitar semula sebagai cara hidup mampan bagi menjadikan negeri ini selesa didiami.

“Saya harap, amalan seperti ini tidak hanya dipraktikkan secara bermusim, tetapi secara berterusan dan seterusnya menjadi budaya hidup masyarakat setempat,” tambah beliau.