Karnival Sukan Pantai fokus aktiviti santai keluarga

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


BATU FERINGGHI – Berbanding empat tahun sebelumnya, penganjuran Karnival Sukan Pantai Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini adalah lebih menfokuskan kepada sukan-sukan pantai dan aktiviti santai bersama keluarga yang menonjolkan warna-warna Pulau Pinang (The Colors of Penang).

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, sebanyak sembilan aktiviti pantai dijalankan merangkumi tujuh sukan pantai dipertandingkan pada penganjuran kali ini.

“Aktiviti-aktiviti pertandingan tersebut adalah termasuk Bola Tampar Pantai, Kabaddi Pantai, Futsal Pantai, Skimboarding, Woodball Pantai dan Demonstrasi Speed Badminton yang julung kali diadakan.

“Paling mencuri tumpuan adalan Pertandingan Mr. Penang Beach Carnival 2013 yang diungguli Shahrijal Shamsudin, 33 dari Kategori Terbuka dan Pertandingan Memancing Seronok-seronok dimenangi Azman dengan hasil tangkapan ikan ketuka seberat 227 gram,’’ katanya sempena penganjuran Karnival Sukan Pantai Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini.

Karnival yang menjadi tumpuan peminat sukan pantai dari serata negeri tersebut dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Kira-kira 3,000 pengunjung turut serta dalam karnival yang diadakan di pesisir pantai Golden Sands Resort di sini.

Chong Eng dalam itu turut berterima kasih kepada penganjur dan penaja yang menjayakan penganjuran Karnival Sukan Pantai Pulau Pinang 2013 kali ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng turut berbesar hati menyediakan 400 bekas manisan ‘Tang Yuan’ sempena Sambulan Pesta Soltis Musim Sejuk, ‘Dongzhi’untuk dinikmati pengunjung-pengunjung karnival.