GEORGE TOWN – Invest Penang Sdn. Bhd. (Invest Penang) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memainkan peranan yang saling melengkapi dan bukannya bertindih.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa MIDA berperanan di peringkat Persekutuan dalam menggubal dasar, menyediakan insentif serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global.
“Dalam pada itu, Invest Penang berfungsi di peringkat negeri dengan memberi tumpuan kepada fasilitasi pelabur, penyelarasan antara agensi, pembangunan ekosistem industri dan pembangunan bakat tempatan.
“Hakikatnya, apabila pelabur telah memilih Malaysia, setiap negeri masih perlu bersaing secara aktif untuk menarik pelaburan tersebut ke negeri masing-masing.
“Dalam konteks ini, Invest Penang memainkan peranan penting untuk membentangkan kelebihan Pulau Pinang kepada pelabur antarabangsa, menyelaras keperluan projek bersama agensi seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Malis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), serta memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, sejak tahun 2010, Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan asing dan domestik berjumlah RM287.5 bilion dengan lebih 249,000 peluang pekerjaan diwujudkan.
Tambah beliau, pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang meningkat empat (4) kali ganda bagi tempoh 2018 hingga 2025 berbanding tempoh sebelumnya, sekali gus meningkatkan bahagian Pulau Pinang daripada jumlah pelaburan pembuatan Malaysia daripada 12 peratus kepada 24 peratus.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh aspek tadbir urus dan akauntabiliti Invest Penang tanpa menjejaskan peranannya sebagai agensi strategik yang menjadi pemacu utama pembangunan pelaburan, industri dan bakat negeri,” ujarnya merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Berhubung teguran dan pandangan yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara berhubung aspek tadbir urus dalam Invest Penang, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan perkara berkaitan.
“Langkah penambahbaikan telah dan sedang diambil termasuk pembangunan Board Charter yang diselaraskan di peringkat negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) iaitu penyeragaman format laporan misi pelaburan luar negara serta penambahbaikan prosedur dalaman organisasi.
“Mengenai isu imbuhan kakitangan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, gaji dan terma perkhidmatan (kakitangan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif) telah diluluskan oleh Executive Committee Board selaras dengan struktur pentadbiran dan tatakelola yang diamalkan pada ketika itu.
“Perkara ini bukanlah sesuatu yang disembunyikan kerana maklumat berkaitan imbuhan tersebut juga telah dijelaskan secara terbuka semasa persidangan DUN pada November 2025,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN