Isu hakisan pantai akan dibincang dengan menteri

Admin
SAIFUL Lizan Sanusi (lima dari kanan) sedang memberikan penjelasan menangani fenomena hakisan di Pantai Bagan Belat kepada Ketua Menteri sambil diperhati Jusni Ismail (kanan sekali) dan Rozali Mohamud (kiri sekali)
SAIFUL Lizan Sanusi (lima dari kanan) sedang memberikan
penjelasan menangani fenomena hakisan
di Pantai Bagan Belat kepada Ketua Menteri sambil
diperhati Jusni Ismail (kanan sekali) dan Rozali Mohamud
(kiri sekali)

TELOK AYER TAWARIsu hakisan Pantai Bagan Belat, di sini yang nyata membahayakan rakyat setempat akan dikemukakan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas secepat mungkin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sambil mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiapkan syor bagi menangani fenomena hakisan pantai berkenaan.

“Saya telah meminta pihak JPS mengemukakan draf laporan untuk saya panjangkan kepada menteri bagi mendapat bajet daripada (kerajaan) pusat.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) ikutlah cadangan yang dibuat oleh syor JPS untuk selesai isu hakisan tanah dan pastikan rakyat setempat benar-benar selamat,” ujar beliau baru-baru ini selepas melawat kawasan pantai berkenaan sempena Program Mesra Rakyat Parlimen Tasek Gelugor di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas), Jusni Ismail (Pegawai Tanah dan Daerah Daerah Seberang Perai Utara, SPU), Ir. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP), Salehin Mohamed (Pegawai Penyelaras Kawasan DUN Telok Ayer Tawar) turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan.

Sebelum pada itu, Jurutera JPS bagi Daerah SPU, Saiful Lizan Sanusi memaklumkan, 1.2 kilometer persisiran pantai berkenaan menerima hakisan yang ketara kebelakangan ini sehingga jarak salah sebuah warung kedai setempat dengan laut adalah kira-kira 10 kaki sahaja.

Beliau berkata, syor mendirikan tebatan batu bagi mencegah hakisan pantai merupakan salah satu opsyen yang sedang dinilai oleh JPS.

Dalam perkembangan berkaitan, peniaga warung berkenaan, Saidin Khamis, 50, turut melahirkan rasa bimbang dengan fenomena hakisan pantai tersebut.

“Sebelum tsunami lapan tahun lepas, lebih 3 meter hujung pantai dengan warung ini.

“Selain tsunami, paling teruk air naik pada tahun 1992. Saya harap Ketua Menteri tengok-tengok tempat ini yang dikatakan bahaya pada waktu air pasang,” ujarnya.