Isu kerakyatan anak lahir luar negara, muktamadkan segera elak kekeliruan

Admin

GEORGE TOWN – Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan ibu warganegara Malaysia hak untuk memberikan kerakyatan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar Malaysia harus dimuktamadkan segera.

 

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, undang-undang kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara sedia ada dilihat menimbulkan diskriminasi.

 

RAMKARPAL Singh.

“Perkara 14 (1)(b) yang dibaca bersama Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan suatu keadaan yang boleh ditafsirkan sebagai diskriminasi.

 

“Peruntukan ini memberi ‘kuasa’ kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara mengikut kewarganegaraan bapa yang berkahwin dengan wanita warga asing.

 

Walau bagaimanapun, persoalan timbul apabila wanita warganegara yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara, apakah status kerakyatan anak tersebut.

 

“Maka, timbul cadangan dan gesaan terhadap kerajaan supaya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan hak kerakyatan anak kepada ibu warganegara dan bapa warga asing yang lahir di luar negara,” ujarnya pada sesi forum ‘Soal Hak Ibu’ anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) secara dalam talian pada 13 November 2021.

 

Forum ini turut mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia dan Family Frontiers.

 

Menyorot kembali pada 9 September 2021, media melaporkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan juga perlu bermaksud dan termasuk ‘ibu’.

 

Hal ini bermaksud bahawa bayi yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

 

Walau bagaimanapun, pada 13 September 2021, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan supaya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

 

Menurut Ramkarpal, sepatutnya tiada apa-apa halangan untuk menjadikan perkara ini realiti dari segi undang-undang dengan hanya meminda satu perkataan iaitu ‘bapa’ kepada ‘ibu bapa’.

 

Dalam sesi Parlimen, saya telah mencadangkan supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan mahupun keraguan yang mungkin timbul akibat penafsiran peruntukan tersebut.

 

“(Dan) saya berharap dalam sesi akan datang, peruntukan yang disebutkan tadi dipinda kerana tidak timbul justifikasi dengan mendiskriminasi hak wanita warganegara,” jelasnya.

 

Terdahulu, Ramkarpal turut berkongsi respons yang diterimanya terhadap persoalan yang ditimbulkan di Parlimen pada 26 Oktober 2021 yang mana Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa terdapat 2,352 permohonan berhubung hak kerakyatan anak-anak daripada wanita warganegara sejak 2018 hingga 11 Oktober 2021. 

 

“(Dan) daripada jumlah tersebut hanya 21 permohonan diluluskan dan 31 permohonan ditolak…kurang daripada 1 peratus permohonan diluluskan.

 

“Perkara ini adalah serius dan saya berharap lebih ramai pihak tampil memberi ‘tekanan’ bagi menjadikan perkara ini sebagai realiti,” tegasnya.

 

CHONG Eng.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng ketika menyampaikan ucaptama berharap lebih ramai yang memahami dan sedar bahawa isu berkaitan hak wanita sering diperdebarkan sehingga ke hari ini.

 

“Semua pihak perlu sedar bahawa hak wanita terutama yang bergelar ibu ini, bukan sahaja memberikan kesan kepada individu tetapi juga anak-anak dan keluarga keseluruhannya.

 

“Ibu-ibu di Malaysia masih tidak dapat memberikan hak kerakyatan kepada anak-anak yang lahir di luar negara dan bagaimana diskriminasi seperti ini berlaku.

 

Seorang wanita yang bergelar ibu juga mempunyai hak dalam keluarga dan ia tidak hanya terhad kepada keputusan kewarganegaraan semata-mata.

 

“Kesaksamaan gender di negara ini masih memerlukan pembaharuan, hak wanita juga adalah hak asasi manusia” katanya yang menyifatkan wujudnya sifat patriarki dalam sistem advokasi dan perundangan negara.

 

Jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, anak-anak tidak akan dapat menikmati hak dan lain-lain kemudahan yang disediakan.

 

Mereka terperangkap dalam situasi yang tidak menentu, hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara.

 

“Saya berpandangan bahawa meminda undang-undang sedia ada adalah lebih baik yang mana perubahan yang tidak wujud diskriminasi boleh dicapai,” ujarnya yang menyokong agar wujud penyelesaian terhadap isu ini.

 

Tambahnya, selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri dan PWDC dalam usaha memperkasakan kesaksamaan gender, beliau berharap polisi ‘leave no one behind’ (LNOB) sesuai dengan Objektif Pembangunan Mampan (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kerangka terbaharu dilaksanakan sebaiknya.

 

NOOR Aziah Mohd. Awal.

Hadir berkongsi pandangan adalah Pesuruhjaya SUHAKAM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal yang juga merupakan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah suruhanjaya tersebut.

 

Selain itu, ibu terkesan, Atirah Syamimi Azmi berkongsi kisahnya yang kini masih bergelut untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak keduanya yang dilahirkan di Arab Saudi hasil perkahwinan dengan warga Palestin. Manakala, anak sulungnya, dilahirkan di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng serta beberapa perwakilan badan-badan bukan kerajaan dan aktivis hak asasi manusia antara yang turut serta dalam sesi forum tersebut yang menjadi platform perbualan yang lebih terbuka.

 

Difahamkan, forum ini merupakan siri ketiga diadakan yang mana siri pertama dan kedua diadakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

 

Gambar : PWDC