Penang Centre of Excellence, ke arah pembangunan bandar raya pintar

GEORGE TOWN – Penubuhan Penang Centre of Excellence (CoEx) yang terletak di Bangunan Wisma Yeap Chor Ee dekat Gat Lebuh China, bakal berfungsi sebagai sebuah pusat kecemerlangan latihan, penyelidikan dan inovasi bertaraf global.

 

Perkara itu diumumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo semalam.

 

Menurut Jagdeep, inisiatif pintar ke-81 yang direncanakan itu adalah bagi mencapai sasaran ‘Negeri Pintar’ selaras dengan Visi Penang2030.

 

 

“Penubuhan Penang CoEx dijangka memberi tumpuan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar, selain membantu membangunkan serta melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam normal baharu.

 

 

“Penang CoEx juga akan berperanan untuk memantapkan pembangunan modal insan yang kompeten, kreatif dan inovatif menggunakan teknologi terkini secara bersepadu dan berterusan serta memberi nilai tambah terhadap kepakaran bidang kejuruteraan dan teknologi melalui penyelidikan, kreativiti yang inovatif serta lestari.

 

 

“CoEx akan memainkan peranan penting sebagai agen perubahan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan bandar raya pintar,” ujar Jagdeep dalam satu sidang media di sini semalam.

 

 

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

 

 

Terdahulu, ‘Aishah ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa CoEx dijangka memulakan operasi pada Februari 2022.

 

 

“Bagi yang berminat boleh hantar permohonan melalui emel ke [email protected] atau menghubungi 04-650 5374/04-262 2631 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

 

“Ruangan berkeluasan 5,000 kaki persegi itu akan menyediakan 12 ruangan slot kepada pemain-pemain industri terpilih,” ujar beliau kepada pemberita.

 

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep mengumumkan, pencalonan jawatan Ahli Majlis MBPP dan MBSP bagi kuota badan bukan kerajaan (NGO) telah ditutup semalam.

 

 

“Sehingga kini, Bahagian Kerajaan Tempatan telah menerima sebanyak 47 permohonan iaitu 22 bagi MBPP dan MBSP (25).

 

 

“Ini bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut untuk tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022 yang mana lantikan tahun 2021 akan tamat pada 31 Disember ini.

 

 

 

“Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Calon-calon yang layak akan dipanggil untuk temu duga dalam masa terdekat,” maklumnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD