“Isu sijil tauliah peguam syarie bukan isu besar” – Ahmad Irwan

Admin

GEORGE TOWNIsu sijil tauliah peguam syarie di negeri ini yang dimainkan pihak pembangkang baru-baru ini dilihat sebagai tindakan yang cuba menimbulkan reputasi buruk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Antarabangsa dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, ‘serangan’ itu jelas menunjukkan bahawa mereka (UMNO) cemburu dengan kejayaan cemerlang dan Kerajaan Negeri dalam menguruskan hal ehwal agama Islam dengan begitu baik berbanding sebelumnya.

“Saya difahamkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie yang juga merupakan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, Ahmad Irwan Ismail bahawa perkara itu bukanlah isu besar sehingga boleh menjejaskan kes-kes telah difailkan melalui peguam syarie yang mempunyai tauliah di negeri ini bermula 2012.

“Hal ini adalah kerana semua peguam syarie yang telah tamat tarikh kuatkuasa pada 31 Disember 2011 telah membuat permohonan untuk menyambung semula sijil tauliah peguam seperti yang telah diperuntukkan oleh Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang 1997,’’ jelasnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Ahmad Irwan berkata bahawa Jawatankuasa Peguam Syarie telah mempunyai senarai peguam-peguam syarie yang masih beramal di Mahkamah Syariah seluruh negeri Pulau Pinang. Senarai tersebut masih lagi terpakai bagi Jawatankuasa Peguam Syarie di sini.

Kedua, Jawatankuasa Peguam Syarie juga mempunyai senarai penama-penama peguam syarie yang telah memperbaharui sijil Peguam Syarie bagi tahun 2012.

Ketiga adalah sebagaimana dijelaskan oleh Abdul Malik dalam sidang akhbar.

Tambahanya, beliau selaku Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie negeri serta ketua pendaftar menerima dan mendaftar kes-kes yang telah difailkan seperti senarai dalam lampiran 2 dan 3 bagi tahun 2012.

“Justeru, isu sijil tauliah peguam syarie bukanlah isu besar kerana peguam-peguam yang telah berdaftar dan telah memperbaharui tauliah mereka masih boleh menjalankan tugas di Mahkamah Syariah seperti biasa.’’ katanya.

ABDUL Malik Abul Kassim (kiri) menunjukkan senarai peguam syarie negeri sambil ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Maktar Shapee pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
ABDUL Malik Abul Kassim (kiri) menunjukkan
senarai peguam syarie negeri sambil ditemani Ahli
Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Maktar
Shapee pada majlis sidang media di sini baru-baru
ini.