Jadikan masjid pusat kecemerlangan Ummah – Mansor

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

MANSOR Othman (tengah) bersama Abdul Malik Abul Kassim (kiri) dan SS  Hassan Haji Ahmad pada sesi perasmian Multaqa Kepimpinan Masjid di Kompleks Tabung Haji di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (tengah) bersama Abdul Malik Abul Kassim (kiri) dan SS Hassan Haji Ahmad pada sesi perasmian Multaqa Kepimpinan Masjid di Kompleks Tabung Haji di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman baru-baru ini menyeru seluruh kepemimpinan masjid di negeri berkenaan supaya merealisasikan fungsi masjid sebagai pusat kecemerlangan ummah sebagaimana di Singapura.

Seruan itu disuarakan beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis Multaqa Pemimpin Masjid 2012 yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) di sini baru-baru ini.

“Walaupun masyarakat minoriti Islam di Singapura (kira-kira) 1.5 juta saja, tetapi, masjid di sana benar-benar berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ummah.

“Aktiviti masjid di negeri kita ini tidak boleh lagi terbatas pada aktiviti solat fardhu Jumaat atau solat (fardhu) lima waktu sahaja, tetapi mesti (disertakan bersama dengan) aktiviti forum, wacana segala isu mengenai umat Islam.

“Universiti al-Azhar (asalnya) merupakan sebuah masjid. Pada zaman Rasulullah s.a.w pun, masjid dijadikan pusat pendidikan dan kemasyarakatan. Maka, tidak salah jika urus tadbir masjid-masjid kita ke arah itu,” ujarnya di depan lebih 100 pemimpin masjid dari seluruh Pulau Pinang.

Mansor merupakan pengasas dan penaung YIPP.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassin turut berucap pada majlis yang berlangsung di Kompleks Tabung Haji, di sini.

Turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Hassan Haji Ahmad dan Mohd. Anuar Abdul Hamid (Pengurus Besar YIPP), wakil Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) serta wakil Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ).

Kolokium itu berlangsung selama tiga hari dua malam bagi membina bakat kepemimpin masjid selain menyeragamkan sistem pengurus masjid di negeri berkenaan.