Jaga & periksa persekitaran agar bebas ancaman denggi, seru ADUN

Admin

BATU LANCHANG – Penduduk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lanchang disaran menjaga kebersihan persekitaran serta kerap membuat pemeriksaan agar kawasan tersebut bebas daripada ancaman denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang berkata, sungguhpun kes-kes demam denggi jarang dilaporkan, namun, wabak tersebut masih lagi menular.

Justeru, beliau mahu para penduduk mengambil langkah yang lebih proaktif dan tidak hanya mengharapkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semata-mata.

“Wabak denggi di negeri ini masih lagi menular dan untuk mencegahnya adalah mudah…setiap orang mampu melakukannya.

“Pertama, pastikan persekitaran kawasan kediaman kita bersih dengan membuat pemeriksaan di dalam dan luar rumah (mencari takungan air tempat nyamuk aedes bertelur).

“Keduanya, menganjurkan aktiviti gotong- royong di peringkat JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) dan saya pasti wabak ini dapat dikawal,” serunya yang juga Exco Pembangunan Pelancongan ketika merasmikan program Santai Briged Wanita anjuran Briged Wanita KADUN Batu Lanchang di sini baru-baru ini.

Kira-kira 300 peserta menyertai penganjuran yang diadakan di perkarangan parkir Pasar Awam Batu Lanchang.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya, senaman taichi, zumba, senam tari, pameran oleh JKNPP, daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), gerai jualan dan aktiviti kelompok.