Kariah main peranan pastikan tiada asnaf terlepas pandang – Salleh Man

Admin

Teks dan Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PERMATANG BERANGAN – Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, Zakat Pulau Pinang (ZPP) membelanjakan RM1,431 juta bagi bantuan bina rumah dan RM1.6 juta bagi bantuan baik pulih rumah sepanjang tahun 2016.

“ Pecahan daripada nilai tersebut adalah 32 penerima membabitkan kategori bantuan bina rumah dan kategori bantuan baik pulih (111).

“Dari segi pecahan bina rumah mengikut daerah, ianya merangkumi sembilan dari daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah, SPT (10), Seberang Perai Selatan, SPS (6) dan Daerah Barat Daya, DBD (7).

“Bagi bantuan baik pulih pula, 53 penerima dari SPU, SPT (38), SPS (10), DBD (7) dan Daerah Timur Laut (3),” ucapnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Rumah ZPP dekat Kampung Pokok Jenerih, Tasek Gelugor, SPU di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 13 penerima mendapat rumah baharu bernilai antara RM38,000 hingga RM46,000.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Azman Abdul Samat; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Permatang Berangan, Ahmad Fahmi A. Bakar, PPK Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad, PPK Sungai Dua, Rosli Hassan dan PPK Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Muhammad.

Tambah Mohd. Salleh, sesetengah permohonan terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

“Bila dapat permohonan, kita (ZPP) perlu kaji sebaik mungkin bagi mengelakkan kesilapan, kekeliruan dan sebagainya, kerana duit zakat perlu digunakan sebaik mungkin untuk membantu golongan asnaf,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Salleh turut mengingatkan jawatankuasa kariah setempat untuk memainkan peranan penting dan tanggungjawab agar tiada asnaf terlepas pandang.

Bagi salah seorang penerima, AZIZAH AHMAD, 51, beliau bersyukur permohonannya diluluskan oleh ZPP.

“Saya mohon sejak tahun lepas lagi melalui PPK Teluk Air Tawar (Musafa Kamal), saya pun amat-amat berpuas hati dengan kualiti rumah yang diberikan oleh ZPP,” jelasnya yang tinggal berdua bersama ibunya.

Bagi bapa tunggal, MOHD. YUSOFF MOHAMED NOOR, 43, bantuan rumah baharu tersebut membuka lembaran baru dalam hidup beliau yang kini terpaksa menyara lima anaknya.

“Dahulu, semasa sewa di Sungai Dua saya tukang kebun sahaja, sejak berpindah ke Pokok Jenerih, saya kini buat kerjakerja kampung yang mungkin berpeluang menambah pendapatan, lagi pun kawasan sini lebih dekat dengan rumah saudara-mara,” kata beliau sambil menunjukkan set kerusi meja berasaskan kayu palet yang direka olehnya.