Jalan Pintasan Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu jangka siap Januari 2025

AIR ITAM – Pembinaan jajaran Pakej 2 jalan pintasan yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu adalah mengikut jadual, dan dijangka siap pada akhir Januari 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sehingga 30 November 2021, kerja-kerja pembinaan jalan pintasan sepanjang 6 kilometer (km) itu telah mencapai kemajuan sebanyak lapan peratus berbanding sasaran awal enam peratus.

“Jajaran ini dibahagikan kepada enam seksyen yang mana aktiviti pembinaan telahpun bermula melibatkan kerja-kerja menanam cerucuk yang akan bersambung ke jajaran utama Pakej 2.

Ketua Menteri meneliti peta laluan Jalan Pintasan Air-Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang kini dalam proses pembinaan.

“Seterusnya, kerja-kerja pengalihan utiliti dan pelebaran jalan akan dilaksanakan di kawasan Seksyen 1.

“Ciri-ciri jajaran ini adalah merangkumi 65 peratus seksyen jejambat (elevated section), tiga seksyen terowong darat berkembar (20 peratus) iaitu dua di Seksyen 2 serta satu di Seksyen 3, dan selebihnya seksyen jalan biasa (at-grade).

“Keputusan membina tiga seksyen terowong darat di sepanjang laluan ini dibuat selepas mengambil kira keadaan bentuk muka bumi bagi mengelakkan aktiviti pemotongan bukit yang boleh mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak penyimpanan jentera bagi projek berkenaan dekat Bukit Gambir di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahlid Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; wakil-wakil Kerajaan Negeri; Pengarah Projek Pakej 2 (Interim), Datuk Ir. Yeoh Lean Huat dan wakil pihak Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd..

Tambah Kon Yeow, pelaksanaan jajaran Pakej 2 berdepan dengan cabaran ekoran melibatkan isu pengambilan tanah termasuk tanah milik persendirian, Kerajaan Negeri, pertubuhan dan agensi Persekutuan.

“Jadi setiap inci tanah yang terlibat dalam jajaran ini perlu diuruskan sama ada melalui Akta Pengambilan Tanah (1960) dan membayar pampasan yang mana sebahagian besarnya telahpun dilakukan.

Jajaran Pakej 2 dibahagikan kepada enam seksyen bagi memudahkan pengambilan tanah dan kerja-kerja berkaitan.

 

“Bagi tanah milik Kerajaan Negeri, ia tidak mempunyai sebarang masalah tetapi sekiranya membabitkan tanah-tanah milik Persekutuan, kita perlu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata, sebahagian daripada jajaran Pakej 2 akan melibatkan kerja-kerja reka bentuk alternatif untuk penambahbaikan daripada segi keselamatan awam, kesan kepada alam sekitar dan kebolehlaksanaan pembinaan.

“Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn. Bhd. selaku kontraktor reka bentuk serta binaan yang dilantik sedang memuktamadkan reka bentuk alternatif yang berkaitan dan akan disahkan oleh Syraikat Perunding Teknikal Bebas lantikan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa seperti mana dilaporkan secara meluas oleh pihak media, pengambilan syer majoriti CZC kini adalah oleh Syarikat ECK Development Sdn. Bhd. bermula Januari 2021.

“Lanjutan itu, pihak pengurusan yang baharu telah mempergiatkan kerja-kerja reka bentuk terperinci, penyediaan pelan pengambilan balik tanah, kelulusan pihak berkuasa dan pelaksanaan pembinaan,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek Pakej 2 akan diserahkan secara rasmi kepada pihak Kementerian Kerja Raya apabila siap kelak.

“Setelah projek ini siap, jajaran Pakej 2 yang merupakan pintasan bebas tol akan memberikan kelebihan kepada orang awam dari segi pengurangan masa perjalanan iaitu dianggarkan dari 40 minit kepada 5 minit sahaja.

Salah satu jenis jentera yang akan digunakan dalam kerja-kerja pembinaan.

“Selain itu, ia juga akan menjana peluang pekerjaan semasa dan selepas fasa pembinaan serta penggunaan kaedah reka bentuk yang lebih mesra alam,” ujarnya lagi.

Jajaran Pakej 2 merupakan salah satu komponen Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan kos sebanyak RM851 juta.

Di bawah Pakej 2 tersebut, terdapat empat persimpangan iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Sebagai rekod, projek berkenaan ditawarkan kepada CZC pada tahun 2013 melalui proses tender terbuka yang mana perjanjian awal telah dimeterai bagi membolehkan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Projek serta Reka Bentuk Terperinci projek berkaitan.

Lanjutan perolehan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) Jadual Kedua dari Jabatan Alam Sekitar pada 7 November 2017.

Keseluruhan, projek berkaitan sebahagiannya melibatkan tiga pakej jajaran bebas tol iaitu Pakej 1 melibatkan jajaran dari Tanjung Bunga ke Teluk Bahang; Pakej 2 dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Pakej 3 dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Oleh : SUNATI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD