MPPP proaktif tangani masalah kesesakan lalulintas

Admin

 

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) memberi penjelasan kepada pihak media mengenai sebuah kereta yang diapit ekoran melanggat undang-undang.
CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) memberi penjelasan kepada pihak media mengenai sebuah kereta yang diapit ekoran melanggat undang-undang.

OLEH : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berhasrat menambahbaik sistem lalulintas di bahagian pulau, Pulau Pinang dengan mengurangkan masalah halangan dan gangguan kepada pergerakan lalulintas. Sehubungan itu, MPPP akan mengambil tindakan untuk mengapit roda dan menunda kenderaan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2011).

Sebelum tindakan penguatkuasaan diambil, MPPP akan memulakan proses pendidikan dengan menasihat pemandu-pemandu kenderaan. Proses pendidikan ini bermula pada 7 Mei 2011 dan meliputi tempoh dua minggu di mana surat pemberitahuan dan nasihat akan diberikan di tapak.

Mulai 23 Mei hingga 31 Mei 2011, tindakan mengapit akan diambil ke atas kenderaan-kenderaan yang menghalang atau mengganggu aliran lalulintas. Walau bagaimanapun, kapit akan dikeluarkan selepas pemandu diberi amaran apabila Pejabat Penguatkuasa MPPP dihubungi. Tiada sebarang bayaran dikenakan sepanjang tempoh ini.

Mulai 1 Jun 2011, tindakan mengapit roda dan menunda kenderaan akan diambil dan bayaran dikenakan sekiranya sesuatu kenderaan menghalang atau mengganggu lalulintas.

Bayaran yang dikenakan untuk mengeluarkan kapit adalah RM50 dan bayaran untuk tuntutan kereta yang ditunda adalah sebanyak RM150. Di samping itu, bayaran sebanyak RM300 dikenakan untuk penundaan kenderaan berat termasuk bas. Manakala bayaran untuk menyimpan kenderaan yang ditunda adalah RM5 sehari. Semua bayaran boleh dibuat secara terus kepada Pegawai Penguatkuasa MPPP di tapak.

Beberapa lokasi ‘hotspots’ di mana masalah gangguan dan halangan kepada pergerakan lalulintas sering berlaku akan menjadi tumpuan MPPP. Antaranya ialah kawasan Komtar, kawasan Pulau Tikus dan bahagian Jalan Burma di antara Jalan Larut dan Jalan Chow Thye.

“Penguatkuasaan kaedah mengapit roda dan menunda kenderaan ini bukan bertujuan untuk menambah hasil Kerajaan Negeri (KN) atau membebankan mana-mana pihak. Hanya segelintir pemandu sahaja yang menyebabkan masalah halangan dan gangguan di atas jalan dan mengengkari peraturan jalanraya,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Majlis Pelancaran Unit Trafik MPPP bagi Penguatkuasaan Mengapit Roda dan Menunda Kenderaan, baru-baru ini.

Beliau berharap tindakan penguatkuasaan seperti ini dapat mengurangkan masalah kesesakan jalanraya dan transformasi tersebut mampu mengubah landskap lalulintas di Pulau Pinang.