Jambatan kanopi ketiga ‘Obscura Crossing’ perkukuh kelestarian habitat liar di Batu Feringghi

img 5148

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri terus memperkukuh inisiatif kelestarian alam sekitar melalui pemasangan jambatan kanopi hidupan liar ketiga yang dikenali sebagai ‘Obscura Crossing’ berhampiran Hard Rock Hotel Penang, hari ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif ketiga seumpamanya bagi menangani isu fragmentasi habitat akibat pembangunan pesat serta pembinaan jalan raya di kawasan berkenaan.

896f8c2d 534c 4152 a204 f483004a5556
ZAIRIL Khir Johari

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, projek yang diterajui oleh Langur Project Penang (LPP) itu membuktikan komitmen negeri dalam mewujudkan infrastruktur inklusif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia, malah melindungi hidupan liar.

“Pembinaan jalan raya sering memotong habitat semula jadi pelbagai spesies haiwan, termasuk lutong, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan apabila haiwan ini cuba melintas.

“Jambatan kanopi ini membolehkan spesies tersebut melintas dengan selamat, sekali gus meminimumkan impak negatif terhadap habitat,” katanya kepada pemberita di sini.

d6370712 6f57 4097 9756 03aafaa97777
TOBIAS Lackermeier
be60c71f 48ac 419f bb1b 786a8c00fbbc
YAP Jo Leen

Turut hadir, Penolong Pengurus Eksekutif Hard Rock Hotel Penang, Tobias Lackermeier serta Pengarah merangkap pengasas LPP, Dr. Yap Jo Leen.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, nama ‘Obscura’ dipilih sebagai penghormatan kepada nama saintifik lutong atau Dusky Leaf Langur, iaitu Trachypithecus obscurus.

“Ia membawa mesej bahawa kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar tidak dapat dielakkan.

“Hidupan liar tidak boleh lagi dianggap sebagai elemen sampingan dalam perancangan bandar,” ujarnya.

47350b6c 8c86 45ed b770 693815f922f6
ANTARA gambar habitat yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara di sini sebenar tadi.
232fb537 d65e 45c6 b15f 8720478bb1c9
ANTARA rekod rakaman lutong yang sempat dirakamkan kamera pelengkap pada tiang ‘Obscura Crossing‘.

Berdasarkan data pemantauan, keberkesanan jambatan kanopi tersebut terbukti melalui kadar penggunaan yang tinggi oleh hidupan liar.

Rekod menunjukkan jambatan pertama di Teluk Bahang yang dibina pada 2019 mencatatkan 7,500 lintasan, manakala jambatan kedua di Lembah Permai (2024) merekodkan 800 lintasan dalam tempoh singkat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Yap Jo Leen yang gigih menerajui projek tersebut sejak peringkat pengajian Sarjana hingga kini.

“Usaha ini bukan sahaja melindungi ekosistem tempatan, malah meletakkan Pulau Pinang di peta dunia apabila inisiatif jambatan kanopi ini mendapat pengiktirafan global serta liputan media antarabangsa seperti BBC.

“Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi erat antara Kerajaan Negeri, komuniti setempat, saintis warga serta pelbagai agensi berkepentingan dalam memelihara alam sekitar,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong cadangan projek LPP melalui kerjasama agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), khususnya dalam memudah cara proses kelulusan.

c4793763 b13b 4b62 ad9d 00ed323fc19a

7cc16778 b821 4c32 af3d 802aafcdd494
ANTARA gambar kesan hakisan pantai di kawasan berkenaan yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara semasa tinjauan lapangan di sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pemulihan hakisan pantai di Batu Feringghi akan dimulakan tidak lama lagi.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang itu melibatkan kawasan belakang Hotel Lone Pine dan Golden Sands dengan kos berjumlah RM500,000.

“Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor terpilih dan kerja-kerja dijadualkan bermula secara rasmi pada 20 April 2026.

“Pada peringkat awal, kontraktor akan melaksanakan kerja pembersihan termasuk menebang dan mengalihkan pokok tumbang sebelum kerja pemulihan fizikal dimulakan.

“Projek ini dijangka mengambil masa 16 minggu untuk disiapkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan teknikal projek tersebut melibatkan penggunaan benteng beg pasir (sandbag) yang direka lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Fenomena ombak tahun lalu yang lebih tinggi daripada biasa menyebabkan reka bentuk asal tidak mampu menahan limpahan air, sekali gus mengakibatkan hakisan.

“Justeru, reka bentuk baharu ini dipertingkat bagi memastikan ketahanan lebih baik sementara menunggu penyelesaian jangka panjang,” jelasnya.

Tambah beliau, JPS Malaysia kini berada pada fasa akhir penyediaan reka bentuk penyelesaian jangka panjang melalui perunding yang dilantik.

Selepas itu, proses pelantikan kontraktor akan dilaksanakan bagi memastikan struktur pesisir pantai di kawasan berkenaan kekal terpelihara dalam jangka masa panjang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING