Lebih RM21 juta diperuntukan Kerajaan Negeri kepada golongan petani sejak 2013

Admin

SUNGAI ACHEH – Lebih RM21 juta diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi membantu golongan petani di negeri ini sejak tahun 2013, kata Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin.

Pada masa sama, jelas beliau, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan skim pinjaman mikro kredit melalui Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) bagi menggalakkan golongan muda menyertai bidang pertanian.

“Tapi apabila kita lihat banyak permintaan daripada petani supaya had umur kelayakan pinjaman ini ditingkatkan kepada 60 tahun, maka Kerajaan Negeri bersetuju memberi pinjaman mikro kredit ini kepada mereka yang berusia 60 tahun tanpa faedah.

“(Dan) untuk menggalakkan orang muda bawah 40 tahun meminjam, Kerajaan Negeri setuju untuk naikkan pinjaman kepada RM6,000,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Hari Ladang Kelompok Padi Sungai Setar B dan Penyerahan Insentif Amalan Teknologi Pertanian di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri (JPN) Pulau Pinang, Rozaidi Abdul Rahman; Penolong Pegawai JPN, Mohd, Izaidin Misdi; ketua-ketua kelompok dan para petani.

Pada majlis itu, Afif turut menyampaikan insentif Amalan Teknologi Pertanian berbentuk racun rumpai dan racun serangga kepada kelompok-kelompok padi Sungai Acheh.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menyeru kepada semua kelompok padi di kawasan berkenaan supaya bergerak lebih aktif melalui penganjuran pelbagai projek dan program agar hasil pertanian dapat ditingkatkan.

“Pegawai pertanian sangat memerlukan kerjasama dan muafakat daripada petani di dalam kelompok supaya pelbagai program Jabatan Pertanian dapat dilaksanakan berdasarkan kekuatan kelompok.

“Program-program dan projek ini mampu memberi kesan secara terus kepada peningkatan kualiti hasil padi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta kualiti hidup golongan petani.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan terus berada di samping para usahawan tani dan golongan sasar untuk menyalurkan khidmat sokongan dan insentif amalan teknologi yang diperlukan dengan lebih cekap serta berkesan demi memajukan sektor pertanian dan industri asas tani,” ujar Afif.