JBO@MBPP x Sama-Sama Lokal bantu peniaga kecil tempatan tingkatkan daya saing

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama Maybank Banking Berhad (Maybank) menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan inisiatif e-dagang terbaharu melalui platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) dan Sama-Sama Lokal dalam usaha membantu peniaga kecil tempatan meningkatkan daya saing perniagaan.

 

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, inisiatif tersebut adalah bertujuan membantu para peniaga kecil tempatan supaya mentransformasikan perniagaan secara dalam talian demi merealisasikan visi Intelligent, Liveable and Happy City (ILHam) di bawah terus strategik Ekonomi Pintar.

 

“Pihak Maybank juga mempunyai hasrat yang sama untuk membantu peniaga-peniaga kecil tempatan berlesen menjalankan perniagaan secara dalam talian sejajar dengan Pelan Transformasi Digital MBPP ke arah Digitalization of Everything.

 

“Malah, ia juga merupakan komitmen MBPP dalam menjayakan Visi Penang2030 (melalui integrasi perkhidmatan dengan teknologi pintar).

 

“Oleh itu, saya harap para peniaga tidak kira penjaja, peniaga kecil MBPP mahupun pengusaha perniagaan dapat mengambil peluang ini dan mendaftar untuk menyertai platform ini serta menikmati kemudahan yang disediakan.

 

“MBPP yakin para peniaga kecil di bawah MBPP yang memilih menyertai JBP@MBPP ini akan menerima manfaat melalui kolaborasi ini dengan memperluaskan pangkalan pelanggan sedia ada,” ujarnya pada Majlis Pelancaran JBO@MBPP dan Sama-Sama Lokal yang diadakan secara hibrid di Komtar pada 18 Mac 2022.

 

Hadir menyempurnakan pelancaran ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan Pengarah Maybank Banking Berhad (MBB) Kawasan Wilayah Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis), Zolkefli Awang.

 

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis MBPP dan wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengikuti pelancaran inisiatif terbaharu itu secara dalam talian.

 

Dalam pada itu, Tung Seang memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama-sama dengan pihak Maybank untuk mewujudkan jaringan penghantaran mesra alam dalam kawasan George Town.

 

“Ketika ini, khidmat penghantaran adalah menggunakan sama ada motorsikal mahupun kereta.

 

“(Dan) bagi menjayakan inisiatif hijau, perbincangan untuk menggunakan basikal dalam kawasan George Town akan diadakan (dengan Maybank) tidak lama lagi,” katanya.

 

Sementara itu, Zolkefli memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan inisiatif Sama-Sama Lokal ini sejak 9 April 2022 sebagai usaha menyokong usaha negara menjadi masyarakat tanpa tunai.

 

“Apatah lagi ketika pandemik, yang mana inisiatif ini sebagai salah satu pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) 

 

“Platform Sama-Sama Lokal ini telah membantu peniaga-peniaga kecil dalam urusan jual beli secara dalam talian dengan menggunakan sistem e-dompet, MAE atau Maybank2u.

 

“Buat masa ini, tiada caj penghantaran dikenakan bagi penghantaran dalam lingkungan 10 kilometer dan tiada caj tambahan bagi makanan dan minuman yang disediakan oleh para peniaga kecil ini.

 

“Pihak kami juga menggunakan perkhidmatan penghantaran dari Lalamove dan Borzo Malaysia (sebelum ini dikenali MrSpeedy Malaysia),” jelasnya.

 

Terdahulu, Jagdeep berkata sehingga kini sebanyak 88 daripada 100 inisiatif pintar telah berjaya dilaksanakan di negeri ini.

 

“Salah satu daripadanya adalah inisiatif Penang Smart Parking (PSP) yang menerima kutipan sebanyak RM32.9 juta sejak dilancarkan.

 

“Bagi inisiatif tanpa tunai di 56 pasar awam seluruh Pulau Pinang  pula telah menjana sebanyak RM10.14 juta dengan 724,000 transaksi.

 

“Begitu juga jumlah kutipan hasil yang diperoleh melalui e-pembayaran di kesemua 23 jabatan dan agensi negeri mencecah RM1.5 bilion (merangkumi 70 peratus daripada jumlah nilai transaksi keseluruhan,” jelasnya yang turut memuji kolaborasi terkini antara MBPP dan Maybank itu.

 

Difahamkan, sehingga 17 Mac 2022, seramai 1,010 peniaga kecil tempatan telah berdaftar dan menyertai platform JBO@MBPP. Mereka yang berminat dan memerlukan khidmat nasihat berhubung inisiatif ini, dialu-alukan menghubungi Jabatan Pelesenan MBPP di talian 263 8818 (waktu pejabat) atau emel ke [email protected] atau layari laman web rasmi MBPP di www.mbpp.gov.my.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS