Jenamakan semula program PR1MA dan TP1M, cadang Exco

Admin

AIR ITAM – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mencadangkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin agar menjenamakan semula beberapa program yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan terdahulu.

Jelasnya, terdapat beberapa program yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) telah dijadikan sebagai propaganda melalui slogan ‘1Malaysia’ oleh pihak kerajaan Pusat sebelum ini.

“Saya telah mencadangkan kepada Menteri Perumahan untuk menyusun semula program-program ini.

“Antaranya, projek PR1MA dan program TP1M yang boleh dijenamakan semula kepada Perumahan Rakyat Harapan Malaysia dan Tabung Penyelenggaraan Harapan Malaysia,” ucapnya ketika mengadakan lawatan  ke projek naik taraf lif pangsapuri di Lorong Semarak Api dekat Bandar Baru Air Itam di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, pertemuan dengan menteri berkaitan di Putrajaya 4 Jun lalu juga telah membuahkan hasil.

“Kami membincangkan isu-isu penting berkaitan perumahan yang telah diabaikan oleh kerajaan Pusat dikuasai BN (Barisan Nasional) sebelum ini.

“Perkara yang tidak diberikan perhatian sejak lima tahun lalu telah dibincangkan dalam pertemuan selama dua jam itu,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam pada itu, Jagdeep bersamasama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang hadir turut mengumumkan senarai projek diluluskan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

Jelas beliau, sebanyak tiga projek telah diluluskan melibatkan kerja-kerja menaik taraf dua unit lif di Blok 4B dan. 4E Bandar Baru Air Itam, Farlim dengan kos sebanyak RM190,000; dua unit lif di Blok 4B dan 4E Pangsapuri Permata Turquoise (RM137,800) serta tiga unit lif di Blok E1 Greenlane Height, Seri Delima (RM272,314) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM600,114.

“Saya gembira mengatakan bahawa pada masa ini terdapat 150 permohonan yang terdiri daripada 243 projek telah diluluskan dengan kos berjumlah RM22.4 juta.

“Projek-projek ini melibatkan penaiktarafan lif, penggantian bumbung, mengecat semula dan menaik taraf jalan serta lain-lain lagi,” ujar Jagdeep.