BERTAM – Keputusan sama ada mahu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau menangguhkan aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah-sekolah tertentu di Pulau Pinang akan diputuskan berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 6 petang nanti.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya sejak 13 Ogos lepas lagi memantau rapi bacaan IPU setiap dua jam menerusi ‘War Room’ Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
Menurut beliau, pemantauan pada jam 7 pagi tadi mendapati keempat-empat stesen bacaan IPU di negeri ini mencatatkan indeks melebihi 160.
“Setakat sekarang, ada pemantauan jam 7 pagi tadi dan laporan dibuat ‘War Room’ JPN Pulau Pinang, keempat-empat stesen mencatatkan lebih daripada 160 (yang mana) saya sedang tunggu laporan setiap dua jam dan akan tengok pada jam 6 petang.
“Kalau mencecah 200, mengikut panduan kita (Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan maklumkan penutupan sekolah dan PdPR dijalankan, namun, jika bawah 200, kita akan menghentikan serta-merta aktiviti luar bilik darjah.
“Keputusan dibuat mengikut kawasan stesen, dan PPD akan maklumkan kepada pengetua atau guru besar yang terlibat,” responsnya ketika ditemui seusai Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini menjelang tengah hari tadi.
Mengulas mengenai kebimbangan maklumat yang sampai di saat-saat akhir, Dziauddin memberi jaminan pemakluman berhubung keputusan penutupan sekolah akan dibuat paling lewat pada jam 8 malam.
“Kita akan buat pemakluman lebih awal, paling lewat jam 8 malam.
“Saya akan tengok momentum pergerakan margin dan peratusan peningkatan (IPU), baru buat keputusan petang atau malam nanti.
“Ini penting untuk membolehkan pihak sekolah dan pengusaha kantin membuat persediaan berkaitan penyediaan makanan dan hal-hal lain,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan penutupan sekolah secara khusus akan bergantung kepada stesen bacaan kawasan masing-masing yang secara keseluruhannya melibatkan 398 sekolah dan 237,000 pelajar di seluruh Pulau Pinang.
Ditanya kemudian, beliau mengesahkan tiada sebarang laporan diterima setakat ini mengenai murid yang mengalami masalah kesihatan kritikal akibat jerebu.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa pihak JPN telah memberi kelonggaran awal kepada mana-mana pelajar yang berdepan masalah pernafasan.
“Ibu bapa dibenarkan mengambil anak mereka lebih awal atas alasan isu kesihatan dan keselamatan.
Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kita memantau keadaan ini setiap masa (sementara) pelajar juga dinasihatkan memakai penutup muka dan mengelakkan berada di kawasan terdedah,” katanya.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB