BERTAM – Pencapaian pelaburan tidak boleh sekadar kekal sebagai angka di atas kertas semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan terus dalam bentuk pekerjaan berkualiti, peluang kepada syarikat tempatan, pemindahan teknologi dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di hadapan lebih 1,000 hadirin pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sini pada 16 September 2026.
“Keyakinan terhadap Pulau Pinang terus terserlah melalui prestasi pelaburan negeri (yang mana) bagi separuh pertama tahun 2026, Pulau Pinang merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan diluluskan, sekali gus muncul sebagai negeri peneraju utama Malaysia dalam tempoh tersebut.
“Jumlah tersebut meningkat 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dan menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan pelaburan pembuatan negara.
“Bagi Kerajaan Negeri, pelaburan bukan sekadar angka, kita (Pulau Pinang) mahu setiap pelaburan membawa pekerjaan berkualiti, peluang kepada syarikat tempatan, pemindahan teknologi dan peningkatan taraf hidup rakyat,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada majlis berkaitan.


Kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib, dengan diiringi isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menyerikan lagi makna sambutan Hari Malaysia pada kali ini.
Turut hadir, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil serta isteri; barisan Exco; para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Konsul-konsul Jeneral serta Kehormat; Ketua-ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan dan barisan jemputan lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini terus melaksanakan projek-projek strategik yang bakal membentuk masa depan Pulau Pinang.
“Antara (projek yang akan diteruskan Kerajaan Negeri hari ini ialah) Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembangunan Pulau Silikon, projek Pembesaran Lapangan Terbang AntarabangsaPulau Pinang serta projek Penyuraian Trafik Juru – Sungai Dua (PTJSD),” ujarnya.
Sebelum pada itu, beliau turut menyeru sekalian hadirin untuk menghayati peristiwa bersejarah 16 September 1963, yang mana proses pembentukan Malaysia sewajarnya mengajar rakyat berbilang kaum bahawa perbezaan bukannya penghalang untuk membina masa depan bersama.
“Walaupun berbeza pandangan dan pendirian, rakyat perlu kekal berkongsi tanah air tanpa perlu bermusuh.
“Semangat kebersamaan ini menjadi asas utama pembangunan Visi Penang2030 bagi melahirkan sebuah negeri pintar, hijau, sejahtera, dan inklusif,” ulasnya lanjut.
Menutup ucapannya, Kon Yeow turut menyeru agar hubungan antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak terus diperkukuh sebagai satu bangsa yang berkongsi takdir yang sama.
Beliau mengajak seluruh rakyat memperkasakan Malaysia yang lebih matang dengan meraikan perbezaan, menghormati pelbagai pendapat, serta memelihara keharmonian demi kemakmuran bersama.
Dalam perkembangan sama, majlis turut dimeriahkan dengan pengumuman keputusan rasmi pertandingan kontinjen perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Padang Kota Lama pada 31 Ogos lalu.
Bagi Kategori Sektor Awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) muncul johan, manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi Kategori Sektor Swasta pula, St. John Ambulans Malaysia Negeri Pulau Pinang merangkul gelaran johan, diekori Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) di tempat kedua dan The Boy’s Brigade in Malaysia’ Penang State Council (ketiga).
Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyaksikan Komander Kesatria UiTM Cawangan Pulau Pinang dinobatkan sebagai johan, menewaskan Universiti Sains Malaysia di tempat kedua dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (ketiga).
Pertandingan turut menyaksikan persaingan sengit dalam kategori Ko-Kurikulum Badan Beruniform Sekolah yang dimenangi oleh Kadet Polis SMJK Perempuan China Pulau Pinang, manakala Kadet Remaja Sekolah SMJK Chung Ling Butterworth dan Kor Kadet Polis SMJK Chung Ling Pulau Pinang masing-masing raih tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Pasukan Pancaragam IPG Kampus Pulau Pinang menjuarai kategori Pancaragam, mendahului Jit Sin Philharmonic Orchestra dan Pancaragam SMJK Jit Sin II.
Bagi kategori Pakaian Terbaik, MBPP sekali lagi mencatatkan kejayaan sebagai johan, disusuli MBSP di tempat kedua dan Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (ketiga).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI