P. Pinang kekal rekod tiada catuan air – Jaseni

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang masih mengekalkan rekod tanpa catuan air tahun ini bagi seluruh negeri sungguhpun musim kemarau berlarutan selama lebih lima bulan disebabkan oleh fenomena Super El Nino.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP tidak merancang untuk mengenakan catuan selaras dengan prinsip ‘tiada catuan air walau apa cara sekalipun’ kerana ia mampu mengganggu kelancaran aktiviti domestik mahupun komersial.

“Pelaksanaan protokol kawalan cuaca kemarau yang berkesan dan simpanan air di empangan adalah antara langkah-langkah diambil PBAPP.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan perlulah mengambil langkah-langkah segera bagi mengekang krisis air yang dijangka akan berulang lagi sekiranya dilengah-lengahkan,” katanya kepada pemberita sejurus Mesyuarat Agung Tahunan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) ke-16 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merangkap Pengerusi PBAHB, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Lembaga Pengarah PBAHB, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan merangkap Ahli Lembaga Pengarah PBAHB, Lim Hock Seng dan Ketua Pegawai Kewangan PBAHB, Dr. Mary Ann Harris.

Jaseni dalam pada itu memberitahu, PBAPP masih mampu memperoleh lebih dari satu bilion liter sehari air mentah dari Sungai Muda, Seberang Perai Utara (SPU) untuk dirawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua.

Kapasiti tersebut, jelas beliau, membekalkan lebih dari 80 peratus air terawat bagi Pulau Pinang selain memastikan simpanan air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang mencukupi.

“Walaupun terdapat sedikit hujan pada bulan Mei lalu, PBAPP masih di tahap waspada dan terus memantau bekalan air mentah di semua empangan termasuk di Sungai Muda.

“Status waspada ini hanya akan dinyahaktifkan apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang mencapai tahap 60 peratus simpanan dan Empangan Beris serta Empangan Muda (Kedah) berada pada tahap 50 peratus,”ujar Jaseni.