Jiran KADUN Bayan Lepas sumbang 120 kampit beras 

Admin

SEMANGAT KEJIRANAN… Atas muafakat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang ‘berjiran’, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain mengambil inisiatif menyumbang sebanyak 120 kampit beras untuk keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pekan Bayan Lepas.

 

Beliau yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan menyampaikan sumbangan tersebut kepada ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dekat Dewan Surau Kampung Bukit, Bayan Lepas petang tadi.

 

“Serahan 120 kampit beras seberat lima kilogram setiap satu ini adalah untuk kegunaan sebahagian daripada penduduk di Pekan Bayan Lepas yang terkesan akibat PKPD 14 hari yang bermula pada 4 Jun lepas.

 

“Sumbangan ini boleh dikatakan sebagai sumbangan ‘kejiranan’ memandangkan KADUN Batu Maung dan KADUN Bayan Lepas  bersebelahan sahaja,” ujar Abdul Halim ketika ditemui di sini.

 

Sebagai respons, Azrul Mahathir berjanji akan mengagihkan bekalan tersebut sebaik mungkin dalam memastikan tidak ada keluarga yang terputus bekalan makanan semasa pelaksanaan PKPD ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI