JKR diseru sedia pengkalan data jalan

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Wong Hon Wai menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mewujudkan pengkalan data jaringan jalan di bawah seliaan pihak terbabit merangkumi nama, panjang dan maklumat jalan bagi memudahkan semua pihak membuat laporan serta rujukan sekiranya perlu.

Beliau berkata demikian ekoran kejadian kerosakan Jalan Pasar, Air Itam hingga Jalan Balik Pulau ekoran cuaca lembap serta hujan yang kerap berlaku kebelakangan ini.

“Baru-baru ini, hujan turun dalam jumlah yang banyak dan ini secara tidak langsung telah membuatkan jalan di sini berlubang agak teruk.

“Lanjutan itu, saya banyak menerima panggilan telefon daripada orang awam mengadu kerosakan teruk berlaku di jalanjalan berkenaan yang juga di bawah selenggaraan JKR,’’ katanya ketika meninjau kerja-kerja penurapan sepanjang laluan berkenaan di sini baru-baru ini.

Jalan sibuk sepanjang 650 meter berkenaan menghubungkan lokasi pelancongan terkenal Kek Lok Si dan Pasar Awam Air Itam.

Ekoran kerosakan tersebut, projek penurapan telah dijalankan dan mengambil masa tiga hari untuk disiapkan.

Dalam pada itu, Hon Wai turut menekankan bahawa sikap kontraktor syarikat utiliti yang mengambil ringan soal turapan semula selepas pelaksanaan kerja-kerja pengorekkan juga perlu diberi perhatian sewajarnya.