Pelajar ke IPTA terima RM1,000

Admin
BARISAN kepimpinan negeri diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (depan enam dari kanan) bergambar bersama-sama 262 pelajar pada Majlis Peyampaian Bantuan Pendaftaran ke IPTA Peringkat Diploma Tahun 2012 di Auditorium A, Komtar di sini baru-baru ini.
BARISAN kepimpinan negeri diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (depan enam
dari kanan) bergambar bersama-sama 262 pelajar pada Majlis Peyampaian Bantuan Pendaftaran ke IPTA Peringkat Diploma Tahun 2012 di Auditorium A, Komtar di sini baru baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNSeramai 262 daripada 298 pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma menerima insentif sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sebanyak RM1,000 setiap seorang pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke\ institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Peringkat Diploma Tahun 2012 (i-BiTA) di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemberian sumbangan buat tahun kedua tersebut adalah sebagai bantuan bagi mengurangkan beban ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke universiti.

“Menyedari akan hakikat bahawa kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat, ia telah mendorong Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang mengambil keputusan untuk meluluskan peruntukan hampir RM2 juta demi membantu rakyat negeri ini. Kita sedar bahawa bukan semua orang yang mampu.

“Lazimnya, Kerajaan Negeri tidak akan pinjam wang untuk berikan wang kepada rakyat kerana dengan cara meminjam wang, ia bukanlah satu contoh yang baik bagi menggalakkan masyarakat menabung.

“Sebaliknya, hasil daripada urus tadbir yang bersih dan untung saban tahun yang membolehkan kami (Kerajaan Negeri) mewujudkan program sebegini,” ujarnya ketika ucaptama Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPTA Peringkat Diploma Tahun 2012 di Auditorium A, Komtar di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan 2,009 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM2,009,000 untuk tahun 2011 iaitu peningkatan sekali ganda daripada jumlah permohonan diluluskan bagi tahun 2010 membabitkan 1,000 pelajar.

Manakala, pemberian insentif tersebut juga telah dinaikkan sekali ganda menjadikan RM1,000 berbanding RM500 sebelum ini.

Bagi salah seorang penerima, Mohammad Faizulwan Ahmad, 19, beliau bersyukur dengan pemberian insentif yang dianggapnya dapat digunakan untuk membeli kelengkapan pelajaran.

“Syukur terpilih mendapat sumbangan ni (ini), boleh juga digunakan untuk membeli sebuah komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dan sekaligus dapat mengurangkan beban ibu bapa kerana saya anak sulung,” ujar pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh kepada Buletin Mutiara di sini.

Sementara itu, dalam majlis berlainan, seramai 28 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 (sesi tambahan) telah diraikan dalam sebuah majlis ringkas dengan penyampaian sumbangan sebanyak RM250 setiap seorang.

Guan Eng ketika ucaptamanya turut berkongsi tiga resipi kejayaan sekiranya seseorang ingin terus cemerlang dan berada pada tahap lebih tinggi.

“Pertama, sebelum dan selepas seseorang pelajar menjadi cemerlang, beliau perlu mempunyai tiga aspek yang perlu dikuasai sepenuhnya iaitu Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa dunia dan bukannya setakat untuk menguasai ilmu pengetahuan sahaja.

“Kedua, komputer dan internet (digital intelligence). Ketiga, character information. Kadang-kadang terdapat pelajar yang cemerlang tetapi tidak boleh menguruskan kegagalan serta berhadapan dengannya. Proses kegagalan adalah salah satu jalan untuk lebih berjaya. Jangan takut untuk gagal kerana tidak ada jalan mudah untuk menemui kejayaan,” ujar beliau.