Jom meriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018!

Admin
FARIZAN Darus (tengah) pada sidang media sebentar tadi.

 

GEORGE TOWN – Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018, Sayangi Malaysiaku yang akan diadakan di Padang Kota Lama, di sini, akan menampilkan pelbagai pengisian menarik bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus berkata, program-program yang bakal dianjurkan tersebut bertujuan untuk menyuburkan patriotisme masyarakat melalui semangat kibar Jalur Gemilang, selain menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Sambutan ini juga akan menjadi paltform untuk memasar dan mempertingkatkan pemahaman terhadap dasar-dasar kerajaan serta mesej negara kepada rakyat untuk menggalakkan penglibatan secara aktif generasi muda dalam program bersifat patriotik.

Pelbagai pengisian menarik telah disusun bermula 3 hingga 5 Ogos 2018 dengan sasaran khalayak seramai 30,000 pengunjung,” ujarnya pada sidang media penganjuran sebentar tadi.

Farizan berkata, antara acara menarik yang telah disusun bermula 3 Ogos ini (Jumaat) iaitu Pameran Caring Bridge, pertandingan bintang patriotik, Zikir Sayangi Malaysiaku dan program keagamaan.

Kemudahan food truck (kendera saji) turut disediakan sepanjang tiga hari bagi memudahkan pengunjung membeli makanan sepanjang program berlangsung.

Pada 4 Ogos (Sabtu), seawal 6.15 pagi akan berlangsung Larian Merdeka, diikuti senamrobik dan Kembara Jalinan Kasih.

Manakala, pada sebelah malamnya pula, akan berlangsung Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia tepat jam 8.00 malam yang seterusnya akan menyempurnakan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Konvoi ini akan menjelajah ke seluruh negara di laluan terpilih termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 4 hingga 31 Ogos 2018,” ujarnya.

Acara pembukaan akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Kembara Jalur Gemilang berkenaan akan melibatkan 50 buah kenderaan terdiri daripada 20 buah kenderaan Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan dan 30 buah motosikal dari Kelab ST1300MMC yang melibatkan 133 peserta.

Dalam pada itu, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 bermula 1 hingga 31 Ogos 2018.

Hadiah keseluruhan pertandingan berjumlah RM301,500 akan ditawarkan kepada pemenang menerusi 10 kategori iaitu, bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung, sekolah menengah, sekolah rendah, taman perumahan, individu, pintu gerbang, anjung komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Penyertaan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan borang penyertaan boleh didapati di semua Jabatan Penerangan Negeri atau muat turun di laman sesawang rasmi www.malaysiamerdeka.my.