Jom sertai pertandingan ‘Batu Maung Photography & Videography 2020’

GEORGE TOWN – Orang ramai dipelawa untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Batu Maung Photography & Videography 2020’ yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain, objektif utama penganjuran pertandingan tersebut adalah untuk mempromosikan Batu Maung sebagai kawasan ekopelancongan.

“Batu Maung merupakan satu kawasan gabungan antara alam semula jadi dan industri serta mempunyai pintu masuk strategik melalui Lapangan Terbang Antrabangsa Pulau Pinang dan Jambatan Kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah).

“Banyak ‘permata tersembunyi’ sebenarnya di Batu Maung ini seperti satu-satunya muzium perang di Malaysia, Cheng Ho’s Temple, perkampungan nelayan, pemandangan pantai serta hutan paya bakau di darat,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan memaklumkan terdapat empat kategori yang dipertandingkan iaitu foto, video, dron dan media sosial.

“Hadiah bagi setiap kategori pula adalah berbeza dan peserta yang layak berpeluang memenangi hadiah yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat ADUN Batu Maung bersama-sama badan swasta bernilai sehingga RM12,000.

“Antaranya termasuklah wang tunai, iWatch, iPad, Fitbit Versa dan pakej penginapan di hotel,” jelasnya.

Difahamkan, para peserta perlu mengambil foto atau video di sekitar kawasan Batu Maung seperti di Persiaran Jambatan Kedua, Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut, Taman Jajar Sungai Ara dan Muzium Perang.

Lokasi lain termasuklah Sam Poh Temple, The Loft Batu Maung, jeti Teluk Tempoyak / Medan Ikan Bakar, Persisiran Teluk Tempoyak dan Bukit Sungai Ara.

Penyertaan perlulah dihantar melalui [email protected]. Jom daftar melalui kod QR di http://bit.ly/BatuMaungPhoto atau hubungi 012-651 5237 untuk maklumat lanjut.

Penyertaan dibuka dari 15 Oktober hingga 15 November 2020. Jom sertai!

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS