Jumlah sumbangan insentif perkhidmatan pemandu teksi, operator bas sekolah mungkin ditingkatkan – KM

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB & SUNARTI YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mempertimbangkan hasrat untuk meningkatkan kadar  pemberian insentif perkhidmatan pemandu teksi dan operator bas sekolah, kelak.

Ketika membuat pengumuman itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut meminta semua penerima mempertimbangkan hasrat pentadbirannya untuk memberi sumbangan insentif tahunan sekaligus, berbanding sebelum ini iaitu RM600 dalam dua sesi
pembayaran pada awal dan pertengahan tahun.

“Mungkin majlis seumpama ini akan diadakan sekali sahaja dalam satu tahun, kalau (penerima bersetuju), kita akan laksanakan.

“(Jumlah pemberian insentif) RM600 atau akan dipertimbangkan lebih,” ujarnya pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Teksi dan Bas Sekolah Bil. 2/2018 di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; beberapa Exco Kerajaan Negeri serta wakil rakyat Pakatan Harapan; Dr. Mohamad Farazi Johari (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri) turut sertai majlis itu.

Sebelum itu, Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang, Abdul Malik Darus dan Naib Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Pulau Pinang, Lau Thang Chim turut menyampaikan ucapan.

Difahamkan, pemberian insentif kepada pemandu teksi dimulakan pada tahun 2013, manakala pada 2017, sumbangan serupa diperluas kepada operator bas sekolah pula.

Kali ini, seramai 2,342 pemandu teksi layak menerima insentif RM300 seorang, iaitu 1,652 pemandu dari bahagian pulau manakala baki 690 (Seberang Perai).

Daripada jumlah keseluruhan 653 operator bas sekolah, 312 penerima adalah dari bahagian pulau dan Seberang Perai (341).

Jumlah keseluruhan pemberian insentif kepada semua 2,995 penerima adalah RM898,500.

Dalam pada itu, Abdul Malik yang ditemui kemudian memberitahu, persatuan gabungan bersetuju dengan cadangan Kon Yeow untuk meningkatkan jumlah pemberian insentif tahunan dalam satu sesi pembayaran sahaja.

Selain itu, beliau berharap pentadbiran Kon Yeow saling berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai isu-isu berbangkit membabitkan kepentingan pemandu teksi.

Salah satunya, menurut Abdul Malik, adalah cadangan menghapuskan operasi perkhidmatan kereta kongsi berbayar secara dalam talian.

“Saya ada berbincang secara peribadi supaya Y.A.B. Chow (Kon Yeow) yang juga Ahli Parlimen (Tanjong) supaya boleh bawa syor kami kepada Kerajaan Pusat, memandangkan Pakatan Harapan sudah menguasai Kerajaan Pusat,” jelasnya.

Sementara itu, dalam majlis peringkat Seberang Perai, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman semasa berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mengiktiraf khidmat bakti semua pemandu teksi di negeri ini sehingga menjadikan ia salah satu medium pengangkutan awam berkesan selama ini.

“Begitu juga dengan operator bas sekolah yang telah menyelesaikan banyak masalah ibu bapa untuk mengambil dan menghantar anak sekolah setiap hari.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri ingin membantu mengurangkan beban pemandu teksi dan operator bas di negeri ini melalui insentif seperti ini,” katanya.

Menurut Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, insentif berkenaan akan terus  diberikan sekiranya Kerajaan Negeri yang ada hari ini masih menerajui Pulau Pinang pada masa akan datang.

Malah tambahnya, Kerajaan Negeri juga berjanji untuk sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan semua pemandu teksi serta operator bas sekolah agar tidak ada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri.

“Diharapkan semua pemandu teksi dan operator bas sekolah dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Pulau Pinang terutama dari segi keselamatan dan keselesaan mereka,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan
Perhubungan Masyarakat pada majlis berkaitan.