Yakin dengan barisan kepimpinan baru, fokus menstabilkan ekonomi negara terlebih dahulu

KEMENANGAN 4-0 bagi Parlimen Balik Pulau dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini adalah amat mengejutkan!

Seiring keputusan tersebut, jelas terbukti bahawa rakyat tempatan mengharapkan yang terbaik daripada barisan kepimpinan baru dipilih.

Pendek kata, tiada masa untuk ‘berbulan madu’ bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Bayan Lepas, Teluk Bahang dan Ahli Parlimen Balik Pulau yang kini membawa amanat besar para penduduk setempat.

Ikuti temu bual wartawan Buletin Mutiara, YAP LEE YING bersama-sama beberapa penduduk Balik Pulau yang ditemuinya baru-baru ini.

Bagi penduduk Sungai Rusa, RODI ISMAIL, 50, beliau yakin bahawa kerajaan baru akan membawa Malaysia ke arah lebih baik.

Pada masa sama beliau turut menaruh keyakinan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang baharu mampu terus memajukan Pulau Pinang dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan juga pengangkutan.

“Menyentuh mengenai aspek pengangkutan, projek terowong dasar laut adalah perlu diteruskan.

“Ini untuk kebaikan, dan saya sangat setuju ia diteruskan demi generasi akan datang terutamanya dalam menyurai kesesakan lalu  lintas kini.

“Malah, projek-projek pembinaan lebuh raya dan jalan raya baru melibatkan kawasan Balik Pulau juga adalah bagus kerana ia bakal mewujudkan laluan alternatif kepada para penduduk di sini,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Mengulas mengenai infrastruktur di Kompleks Pasar Awam Balik Pulau, Rodi menyatakan bahawa tahap kebersihan di sini adalah  perlu ditingkatkan.

“Pada masa sama, saya juga berharap bayaran parkir di kompleks ini dapat dimansuhkan kerana orang (umum) hanya datang sekejap sahaja untuk beli barang di sini, jadi tak wajar dikenakan bayaran parkir,” serunya.

Bagi HARIZONE ABBAS, 63, keutamaan beliau adalah bagi menstabilkan terlebih dahulu keadaan ekonomi negara.

“Saya tahu masalah kewangan negara. Buat masa ini, kurangkurangkan bantuan (program-program sumbangan dan bantuan kepada rakyat) pun takpe, asalkan ekonomi negara kita Malaysia okay.

“Bantuan sedia ada pun, ada orang senang (berada) dapat, orang susah (kurang mampu) yang sepatutnya dapat (terima) tapi tak
dapat.

“Justeru, biar ekonomi pulih dulu sebelum kita tambah atau buat yang lain,” ujarnya yang menjalankan perniagaan runcit di Kompleks Pasar Awam Balik Pulau.

Dalam pada itu, SALMAH AHMAD, 61, berharap Ketua Menteri dan barisan kepimpinan baru dapat mengekalkan keamanan serta keharmonian negeri Pulau Pinang.

“Saya mendoakan yang Pulau Pinang akan terus berada dalam keadaan aman damai,” jelasnya sambil tersenyum manis.

Warga emas, EWE SIEW ENG, 67, memberitahu bahawa perniagaannya bertambah baik dengan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya harap ekonomi akan lebih baik.

“Berbanding dengan pasar awam lama (Balik Pulau), keadaan di pasar baru adalah jauh lebih baik terutamanya daripada segi
infrastruktur, malah sewa yang dikenakan juga adalah berpatutan,” katanya.

Serentak itu, salah seorang pelanggannya, LIM AH TING, 76, menyampuk bahawa Ketua Menteri baharu dilantik, Y.A.B. Tuan Chow
Kon Yeow merupakan jirannya di Balik Pulau.

“Beliau (Ketua Menteri) ialah jiran saya. Beliau sangat baik dan saya sudah tahu, selepas Lim Guan Eng (mantan Ketua Menteri),
Chow (Kon Yeow) akan menjadi Ketua Menteri,” ujarnya sambil menyatakan keyakinan bahawa semuanya akan berada dalam  keadaan baik.

Pendapat sama turut dikongsi M. PASIAMAH, 62, berhubung barisan kepimpinan baru Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Berkongsi pandangan bagi isu peringkat nasional, beliau yang berasal dari Titi Teras, Balik Pulau berharap kerajaan akan melihat  semula polisi-polisi perumahan sedia ada demi keperluan golongan kurang mampu dan muda.

“Bagi aspek kebajikan wanita pula, saya berharap fokus yang lebih diberikan kepada golongan wanita berbangsa India,” jelas beliau.