Kadar pertumbuhan ekonomi positif

Admin

 

GEORGE TOWN – Dua tahun berturut-turut, Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan memberangsangkan. Kadar pertumbuhan pada tahun 2010 ialah sebanyak 8.1% berbanding tahun sebelumnya. Hal ini telah disahkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Selain mencatatkan pertumbuhan kadar ekonomi yang positif, Pulau Pinang turut mencatat lebihan belanjawan sebanyak RM33.54 juta pada 2010 atau 6.22% menjadikan lebihan belanjawan terkumpul sebanyak RM572.49 juta. Manakala hasil yang dikutip pada tahun lalu telah meningkat sebanyak 9.08% atau RM34.19 juta berbanding tahun 2009, iaitu daripada RM376.51 juta kepada RM410.70 juta.

Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mencatat lebihan sebanyak RM88.02 juta berbanding jangkaan defisit RM35.66 juta. Bagi tahun berikutnya, lebihan berjumlah RM77.34 juta berbanding RM78.88 juta jangkaan defisit telah dicatatkan. Pada tahun kewangan akhir 2010, Kerajaan Negeri telah mencatat lebihan sebanyak RM33.54 juta berbanding jangkaan defisit RM78.98 juta.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, jumlah lebihan bagi tahun lalu adalah lebih besar sekiranya Kerajaan Negeri tidak merezabkan sejumlah RM25 juta dalam akaun amanah bagi pembayaran skandal tanah Tan Hak Ju.

Hasil urustadbir CAT dan anti-rasuah yang diamalkan Kerajaan Negeri telah membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, segala keuntungan yang diperoleh oleh Kerajaan Negeri, dikongsi bersama rakyat. Buktinya, sejak 2008, pelbagai pembaharuan telah dilakukan antaranya memperkenalkan Program Penghargaan Warga Emas, pertambahan peruntukan dalam pembangunan dan pengurusan Hal Ehwal Agama Islam, pembinaan, pemuliharaan sekolah, pasar-pasar awam dan pelbagai lagi projek prasarana bagi memastikan rakyat Pulau Pinang menikmati keselesaan dan kesejahteraan hidup.

Dalam pada itu, Guan Eng menyeru agar rakyat Pulau Pinang sama-sama menyokong dasar-dasar yang telah dan sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan Pulau Pinang menjadi negeri yang bukan sahaja jaguh dalam pelaburan dan pertumbuhan ekonomi malah mampu menjadi ikon kepada negeri lain di Malaysia.